Halaman

Followers

Sabtu, 8 Oktober 2011

Anak hilang jatuh laut



BANTING: “Sebelum ini anak saya nak ikut ke laut untuk menangkap ikan, tetapi saya berkeras tak benarkan. Tetapi, pada hari kejadian itu saya membenarkannya mengikuti saya tanpa banyak soal.

“Tak sangka itu petanda kami akan menghadapi nahas,” kata seorang Orang Asli Pulau Carey, Roslan Seam, 40-an, menceritakan kejadian botnya dipukul ombak hingga menyebabkan anaknya Nizam, 14, terhumban ke laut dalam kejadian jam 7 malam Khamis lalu.

Nizam, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Carey, belum ditemui selepas dilaporkan terhumban di lokasi kira-kira 20 kilometer perairan utara Banting dari tempat mereka berlepas di Jeti Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, di sini.


Roslan yang ditemui menyatakan terlalu sedih dengan kehilangan anak lelakinya dan menyalahkan dirinya kerana membenarkan remaja itu mengikutinya ke laut.

Menurutnya, pada hari kejadian mereka keluar ke laut jam 5 petang.

“Kami menangkap ikan. Tiba-tiba saya terlihat awan mendung dan semakin gelap dengan angin bertiup kencang.



“Saya mengambil keputusan untuk berteduh di boya (tempat nelayan selalu berteduh di laut sekiranya cuaca buruk) tidak jauh dari tempat kami menangkap ikan.

“Ketika menghampiri boya itu, secara tiba-tiba gelombang ombak kuat sebelum saya melihat bot kami hampir terlanggar boya itu,” katanya.


Menurutnya, dia segera mengawal botnya untuk mengelak boya berkenaan bagi mengelakkan pelanggaran yang berisiko menyebabkan bot itu karam.

Tetapi selepas itu, katanya, apabila dia memandang ke belakang bot tempat anaknya berdiri dia dapati Nizam sudah tiada.

“Saya tiada pilihan terpaksa memusingkan bot. Saya dapat elak melanggar boya, namun tak sangka tindakan itu menyebabkan anak yang berada di belakang bot terhumban ke laut.

“Saya tengok anak sudah tak ada. Saya cuba memanggil dan mencari di sekitar bot, namun tak menyahut. Nak menyelam tak boleh sebab ombak besar dan angin kuat.

“Selepas beberapa minit mencari, saya putus harapan sebelum berpatah balik ke jeti Sungai Kurau untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, sejak kejadian itu dia menjadi sangat sedih, tak boleh tidur dan tiada selera makan kerana terganggu merasakan kejadian berpunca daripada kesilapannya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Teluk Panglima Garang, Inspektor Mohamad @ Zulkiflee Mohd Amin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 9 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, gerakan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan membabitkan tiga bot sesi pagi dan sembilan bot sesi petang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...