Followers

Isnin, 10 Oktober 2011

Tertipu status teman lelaki


MALU rasanya untuk membuka pekung di dada. Saya ibu tunggal dan mempunyai dua anak yang kian membesar. Dua tahun saya menyendiri demi membesarkan anak, namun sejak awal bulan ini hati saya berbunga untuk disayangi sebaik menerima panggilan daripada seseorang yang tersalah nombor.
Kami kerap berbalas mesej serta panggilan dan akhirnya satu pertemuan diatur. Seawal perkenalan dia mempamerkan begitu mengambil berat mengenai kehidupan saya dan anak.
Walaupun saya tekad untuk tidak terlanjur dengannya, ia berlaku sebaliknya. Lebih memeritkan, dia tidak jujur dengan saya selama ini.

Akhirnya dia mengaku suami orang dan bapa kepada tiga cahaya mata meskipun pada luaran tidak menyangka status sebenarnya.




Remuk hati saya mendengarnya walaupun dia katakan dalam proses perceraian. Haruskah saya percaya dengannya lagi.


Saya juga bimbang seandainya hamil di atas keterlanjuran saya. Saya malu dan tidak pasti di mana harus bersembunyi kerana saya ada tanggungan untuk disara. Bantulah saya menghadapi situasi ini.

ROSE
Pulau Pinang



Imam Hasan al-Basri, ahli teologi Arab terkenal dan Cendekiawan Muslim pernah berkata: “Jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata, saya mengajarnya al-Quran.”


Namun terlewat menyedari kata-kata ini menyebabkan ramai menjadi mangsa keterlanjuran, tidak terkecuali saudari.


Berani berdua-duaan tanpa ditemani mahupun bertemu di tempat terbuka menyebabkan saudari tergoda dengan pujuk rayu pasangan kononnya cintakan saudari dan prihatin dengan nasib anak.


Walau bertekad mana pun mempertahankan kehormatan, saudari akan tewas juga sebaik terpengaruh dengan godaan nafsu.


Jangan diuji andai iman di dada hanya seteguh sehelai rambut dan bisa ampuh sebaik digoda kata-kata manis pasangan.


Sebaik menyedari saudari terlanjur, insaf dan bertaubatlah. Jangan mengulangi perbuatan itu dan tinggalkan lelaki itu kerana dia masih suami orang.


Jadikan ia teladan untuk masa depan dan lebih berhati-hati menjalin hubungan. Jika dia ikhlas, dia akan menggunakan cara betul untuk mengahwini saudari. Namun pada pandangan Dang Setia, lelaki ini dilihat cuba mengambil kesempatan dan tidak ikhlas.


Lupakan dan tumpukan perhatian kepada komitmen sedia ada iaitu anak.


Andai saudari hamil atas hubungan dengan lelaki itu, terimalah ia sebagai peringatan dan hutang yang perlu dilunaskan kerana kesilapan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...