Followers

Selasa, 20 Mac 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 2


Note: Re-edit version Jangan Pernah Sakiti Aku

BAB 2

HARUMAN potpourri menjadi kepastian baginya setiap kali  berada di pejabat. Bekas yang mengandungi daun-daun kering yang keras dan berwarna-warni itu pasti diletak penwangi khas bagi memastikan keharuman itu sentiasa memenuhi segenp ruangan kerjanya. Wangian ini dapat menjadi terapi mindanya dikala fikirannya kusut memikirkan hal-hal kerja. Ruangan kerjanya dihias dengan benda-benda yang berwarna unggu supaya nampak lebih menarik dan lain dari yang lain. Sememangnya dia peminat tegar warna itu.
            Haryani menghenyakkan punggungnnya di atas kerusi empuk yang sentiasa menanti kedatangan tuannya. Kepalanya tersandar seketika sebelum dia membetulkan kedudukannya. Dikerlingnya jam tangan yang terikat kemas di pergelangan tangan. Hampir pukul 8.30 pagi, agak awal dia sampai memandangkan kerjanya bermula pada pukul 9.00 pagi. Niatnya untuk menghidupkan komputernya terbantut apabila terpandang gambar-gambar yang tersusun di atas meja. Sudah lama dia tidak mengusiknya, jadi agak berhabuk sedikit.
            Tangannya mencapai salah satu gambar itu. Fotonya bersama Azie, Ila dan Sara. Gambar itu diambil ketika mereka bercuti di Pulau Pangkor selepas peperiksaan akhir semester. Seingatnya hampir 4 tahun yang lalu. Teringat Pulau Pangkor, dia teringatkan seseorang. Lantas dicapai foto yang satu lagi. Memori lalu terlayar difikirannya akan pertemuan dengan kekasih hati. Gambar seorang jejaka sedang tersenyum sambil memeluk erat bahunya. Haryani tersenyum sambil mengusap-usap gambar itu dan kemudian dia memeluk erat gambar kaku itu.
            Peretemuannya dengan Hariz berlaku tanpa diatur, dia yang ketika itu sedang bercuti bersama teman-temannya tanpa sengaja telah bertemu dengan lelaki itu. Insiden dimana dia menyebabkan Hariz jatuh tergolek di depan hotel amat memalukan. Berbuih-buih mulutnya mengucapkan maaf kepada Hariz, malu ketika itu usah dicakap. Semuanya kerana dia tergesa-gesa ingin turun dan tanpa sengaja telah tertolak  lelaki itu yang sedang ralit berbual di telefon.
            Pada mulanya marah juga Hariz padanya, tapi melihat kesungguhannya memohon maaf dan membeli sekotak coklat sebagai tanda permohonan maaf, baru la lelaki itu sudi memaafkannya. Sangkanya berhenti setakat itu saja, rupa-rupanya Hariz terlebih dahulu menyatakan niatnya untuk berteman dengannya. Dia tidak kisah, hubungan persahabatan pada awalnya berlarutan sehingga mereka menjadi sepasang kekasih.
            ‘Tak sangkakan, dah tiga tahun kita bersama. Semoga hubungan kita terus kekal bertaut.’
            Lafaznya dalam hati sambil matanya terpejam rapat, manakala bibirnya tersenyum bahagia. Itulah doa dan harapannya selalu.
            Harapannya hubungan yang berlangsung tiga tahun ini dapat berakhir dengan menjadi yang halal buatnya. Kalau boleh dia tidak mahu bercinta lama-lama, selebihnya biarlah lepas kahwin pula. Tapi kalau dia seorang yang nak kahwin, tapi Hariz belum bersedia tak jadi juga. Sekarang ini dia hanya menunggu Hariz menyatakan hasratnya saja.
“Amboi… Jauhnya berangan. Pagi-pagi lagi dah ingatkan buah hati pengarang jantung kau tu ke?”
Sergahan seseorang mengejutkannya sekaligus membuatkan dia hampir melatah. Terkejut beruk dia dengan teguran itu. Nasib baiklah foto yang berada di tangannya tidak terlepas. Haryani mengurut dadanya beberapa kali sambil beristighfar.
“Hah, siap peluk-peluk gambar bagai.”
“Ish, kau ni Lia. Takdak salam, takdak helo, tahu datang terjah je. Nasib baik la aku tak terbaling gambar ni ekat kau, kalau tak alamatnya benjol kepala kau tu.” Gerutu Haryani lalu meletakkan kembali foto Hariz ditempat asalnya.
Alia atau Lia, tuan empunya nama tadi hanya ketawa. Dia merupakan rakan sekerja Haryani. Walaupun dia lebih tua daripada Haryani tetapi Lia langsung tidak melayannya seperti budak, tetapi sebagai teman. Lia terus ke ruangan kerjanya yang bersebelahan dengan Haryani. Dia masih seronok menyakat teman sekerjanya itu.
“Kalau kau tak mengelamun mesti kau dah perasan aku sampai tadi. Ni tak, boleh pula tersenyum sorang-sorang. Nasib baiklah orang gila tak jumpa kau, kalau tak kau pun dia kata gila.”
“Takdak maknanya nak samakan aku dengan orang gila. Sekurang-kurangnya aku gilakan orang yang gilakan aku juga.” Balas Haryani geram yang kemudian tertawa.
“Siapa yang gilakan kau tu?” Tanya Lia dengan nada mengusik walaupun dia sudah tahu siapa gerangannya.
“Hariz!” Jawab Haryani yakin. Sambil mencebik.
Lia ketawa sambil memandang Haryani yang mucungnya sudah sedepa. Baginya Haryani tak ubah seperti kanak-kanak riang. Haryani memiliki hati yang bersih dan dia sangat jujur dengan perasaannya.
“Oh, jadi kau mengaku la kau tergilakan si Hariz tu? Yang tadi tu pun asyik berangankan dia la? Ish, Ish... Susah juga ya kalau ada penyakit rindu ni. Macam ni la Yani, apa kata kau kahwin cepat-cepat dengan Hariz, kan takdak la penyakit kau melarat.”
Merah padam wajah Haryani. Malu kerana ditegur oleh Lia, nampak sangat dia ni gelojoh. Rasa macam syok sendiri saja.
‘Padan muka aku! Kan dah kena dengan Lia. Yang aku ni pun, ingat dekat Hariz sampai tak ingat dunia. Entah aku sorang je yang teringat dekat dia, dia langsung tak ingat aku pun.’
“Malu la tu... Hah tengok muka tu! Dah merah macam cili api.” Lia masih menyakat. Suka dia bila Haryani kelu untuk menjawab. Lagi suka bila Haryani tidak keruan.
“Eh, tapi agak-agaknya Hariz tergila-gilakan kau tak?”
“Lia... Dah la! Malu aku tahu tak. Dah, dah... Sambung kerja.”
Terasa kulit mukanya senipis kulit bawang, rasa nak sorok mukanya bawah meja saja.Tak tahu bagaimana dia harus sorokan rasa malu yang amat sangat ini. Dia segera berpura-pura memandang skrin komputer yang menyala dan menyibukkan diri dengan kerja yang ada.
Lia hanya menggelengkan kepala. Acap kali dia menangkap Haryani begitu, sebab itulah dia menyuruh Haryani cepat-cepat menikah dengan Hariz. Tak perlu ditanya bagaimana rupa bentuk Hariz. Dia dah pernah berjumpa Hariz beberapa kali disini. Ketika itu hariz menjemput Haryani makan tengah hari.
“Yani!” Tiba-tiba Lia memanggil.
“Apa? Kau sudah-sudah la... Aku malas nak dengar.” Sangka Haryani Lia mahu menyakatnya lagi dengan Hariz.
“Aku bukan nak cakap pasal kau la. Aku nak bagi tahu something ni. Kau datang la dekat sikit.”
Haryani tidak membantah. Dia segera menghampiri Lia bersama kerusinya. Kerusi beroda ini memudahkan pergerakkannya.
“Pasal apa?” Soalnya tidak sabar. Biasalah orang perempuan kalau bergosip nombor satu.
“Okay, tapi sebelum tu kau kena janji dengan aku yang kau kena rahsiakan hal ni dari Alif.”
“Hmm... Memang aku kenal suami kau kan?” Perli Haryani.
Lia tersengih, lupa yang Haryani tidak pernah bertemu ataupun berbual dengan suaminya. Maklumlah walaupun bekerja dalam bangunan yang sama tapi mereka tidak pernah bertemu. Suaminya Alif bekerja di bangunan yang sama dengannya tapi syarikat lain. Suaminya bekerja sebagai akauntan.
Sorry, okay. Aku nak bagi tahu kau ni, sebenarnya... Sebenarnya... Aku mengandung!” Ujar Lia teruja, wajahnya berubah ceria dan gembira.
“Apa?! Serius? Bila?...Yeah!”
Kerana teruja Haryani menjerit. Tapi cepat-cepat dia menutup mulutnya, baru sedar bukan mereka berdua saja yang ada di situ.
“Banyak betul kau tanya, okay satu-satu aku jawab. Aku baru tahu pagi kemarin, sebab aku nak kepastian aku pergi la jumpa doktor, memang sah aku mengandung. Syukur alhamdulillah.”
Lia memanjatkan kesyukurannya kepada Allah S.W.T. Setelah dua tahun berkahwin akhirnya dia mengandung juga. Lama dia menanti untuk menjadi seorang ibu, siang dan malam dia berdoa akhirnya Allah makbulkan.
“Dah berapa lama?”
“Tiga minggu.”
“Habis tu suami kau tak tahu lagilah ni?”
Alia menggeleng.
“Aku nak buat kejutan untuk dia.”
Haryani hanya mengangguk. Dia tumpang gembira dengan berita ini. Seronoknya menjadi Lia. Berkahwin, mempuanyai suami yang baik dan sekarang mereka bakal mendapat cahaya mata. Dia juga ingin begitu, tapi kena tunggu kahwin dulu la.
Lia tidak mampu membendung perasaan bahagianya lagi lantas dipeluk erat tubuh Haryani. Walaupun terkejut Haryani tetap membalas pelukkan itu. Terasa ingin diluahkan segala apa yang dirasakannya. Rasa syukur sudah tidak terucap olehnya. Inilah satu-satunya kurnian Ilahi yang paling besar buatnya.
            “Aku happy sangat Yani, aku tak tahu nak cakap macam mana lagi. Terlalu gembira!” Luahnya sebaik pelukkan mereka terungkai. Dia sebak.
            “Aku pun sama Lia. Tahniah!”
            Tiba-tiba perasaan cemburu datang tanpa diundang. Melihat kebahagian orang lain, dia turut ingin bahagia bersama insan yang dicintainya.
            “Kau bila lagi? Cepat-cepat la kahwin, aku teringin nak tengok kau naik pelamin, lepas tu jadi mak orang.”Ujarnya sambil ketawa kecil.
            Haryani hanya tersenyum.
            “Hal tu kau tak boleh tanya aku. Kau kena tanya Hariz sendiri.”
            Kadang-kadang dia terfikir juga. Bila Hariz akan melamarnya? Sudah bertahun mereka mengenal hati budi masing-masing. Boleh dikira usia hubungan mereka cukup matang. Lagipun tak elok jika bercinta lama-lama, takut terjadi sesuatu yang tidak elok pula.
            “Hmm, okaylah Lia. Sempena hari gembira ni, aku belanja kau lunch, okay?”
            “Baiklah cik kak oi... Tapi mesti restoran mahal-mahal tau. Taknaklah kedai tepi jalan je.”
            “Ala Lia, aku mana mampu. Kalau restoran depan office kita boleh la.”
            “Apa-apa je la, asalkan restoran.”
*****

SEPERTI yang dijanjikan, Haryani dan Lia kini sudah berada di restoran yang terletak berhadapan dengan pejabat mereka. Masing-masing sedang memilih makanan yang hendak dimakan. Haryani memesan nasi goreng kampung dan minuman kegemarannya jus oren. Manakala Lia memilih untuk makan makanan barat dan minuman yang sama dengannya.
            Kelihatan ramai orang yang datang, semestinya sekarang waktu makan tengah hari. Haryani dan Lia memilih meja yang berada bersebelahan dengan dinding kaca kerana dapat melihat pandangan luar. Lia yang baru mendapat perkhabaran gembira itu tidak lekang bercerita akan rancangannya untuk membuat kejutan untuk suaminya, Alif. Lia kelihatan gembira dan bahagia, wajahnya jelas berseri-seri. Haryani hanya menjadi pendengar setia, sesekali dia akan memberi cadangan apabila diminta. Terselit rasa cemburu pada rakannya. Umur Lia tidaklah terlalu tua, beza umur mereka cuma 2 tahun. Tapi Lia terlebih dahulu mendirikan rumah tangga dan mereka hidup bahagia.
            Sedang mereka menjamu selera. Tiba-tiba Lia bersuara.
            “Eh,Yani. Tu bukan Hariz ke?” Tanya Lia sambil menunjuk ke arah belakang Haryani.
            Haryani segera berpaling memandang ke arah yang ditunjukkan. Tetapi dia tidak nampak kelibat Hariz di situ.
            “Mana? Tak nampak pun, kau jangan tipu aku Lia.”
            “Mana ada aku tipu kau. Kau cuba tengok dekat sana tu.”
            “Mana?!” Dia masih tidak melihatnya. Geram pula kalau-kalau Lia hanya permainkannya.
            “Tu… Dekat situ tu… Dekat sebelah meja perempuan yang pakai baju pink tu.” Kali ini Lia memberi tahu kedudukan meja Hariz dengan lebih jelas. Mulutnya termuncung ke arah yang ditunjukkannya.
            Haryani segera bangun dan meninjau ke arah tempat yang dimaksudkan Lia. Haryani tersenyum bila matanya menangkap di mana keberadaan Hariz sekarang. Kelihatannya Hariz sedang sendirian. Tanpa banyak bicara dia terus bangun ingin pergi. Tetapi langkahnya mati bila mendengar teguran Lia.
            “Kalau ya pun nak jumpa kekasih hati, pengarang jiwa. Makanlah sampai habis dulu, tak lari gunung kalau dikejar.”
            Haryani tersipu-sipu malu, segera dia menyudahkan makanannya. Lia ni pun,sempat lagi nak berbahasa.
            “Lia, aku pergi jumpa Hariz sekejap ya.”Ujarnya setelah menyudahkan hidangan makan tengah harinya lantas berdiri.
            “Okay, tapi jangan lama-lama sangat tau. Aku tak solat lagi.”
            Sebenarnya dia hairan juga Hariz berada di kawasan tempat kerjanya. Agak jauh Hariz datang kalau semata-mata hanya ingin makan tengah hari. Perjalanan dari tempat kerja lelaki itu dengan pejabatnya memakan masa tiga puluh minit untuk sampai. Sedangkan Hariz boleh saja makan di kawasan yang lebih dekat. Tapi yang lebih menghairankan kenapa Hariz tidak mengajaknya sekali seperti selalu.
            Haryani melangkah penuh gembira ke arah Hariz. Hampir seminggu mereka tidak bertemu sudah membuatnya dia mabuk rindu pada lelaki itu. Perjumpaan secara tidak sengaja ini memberi kesempatan kepadanya untuk melepaskan rindu. Apa agaknya reaksi Hariz nanti bila bertemu dengannya? Mungkin gembira sepertinya. Tapi bila langkahnya semakin hampir, baru dia dapat melihat wajah lelaki itu lebih jelas. Air mukanya muram dan tidak bermaya. Rambut-rambut halus mulai kelihatan disekitar dagunya, seperti sudah beberapa hari tidak bercukur. Dari situ Haryani membuat kesimpulan. Mungkin Hariz berada dalam kesusahan?
*****

HARIZ tiada selera untuk menjamah makanannya, tapi digagahnya jugak bagi mengisi perutnya yang kosong sejak pagi tadi. Fikirannya kusut, hatinya tidak tenteram. Sejak beberapa hari ini, dirinya sudah tidak terurus. Fikirannya selalu menerawang memikikran hal yang membuatkan hatinya diragut rasa bimbang dan bersalah. Dia sebenarnya risau! Fikirannya terbeban bila memikirkan masalah yang sedang digalasnya. Dia tidak tahu kepada siapa harus dia adukan, sekarang ini cuma kawan baiknya saja yang tahu masalahnya iaitu Ikram. Masalahnya bukan saja melibatkan dirinya, tetapi semua orang yang berada disekelilingnya.
            Telinganya masih terdengar-dengar dengan ucapan mamanya Datin Sofea dan papanya Dato Bahar. Sanggupkah dia melukakan hati seorang insan yang cukup dicintainya hanya kerana desakkan keluarga yang ingin melihat dirinya bersama insan lain?
            “Mama tak kira, kau nak ke, taknak ke, mama tetap dengan keputusan mama. Faham!” Suara Datin Sofea tegas.
             Datin Sofea berdiri di hadapan anaknya yang sedang duduk bersebelahan suaminya. Dia merenung tajam Hariz. Hatinya sudah keras dengan keputusannya dan tak mungkin dapat diubah lagi. Lagipun suaminya turut bersetuju dengan keputusannya. Jodoh yang dipilih untuk dijadikan isteri Hariz dari keluarga yang baik-baik dan yang pasti lebih layak dari Haryani.
            Dato Bahar sudah cukup kenal dengan keluarga bakal menantunya dan mereka bersahabat baik. Sebab itulah dia menyetujui keputusan isterinya. Bakal menantu mereka orangnya cukup lembut, bersopan-santun dan baik budinya. Hal itulah yang telah menarik hatinya untuk melamar anak gadis sahabatnya untuk menjadi isteri Hariz, satu-satunya anak mereka.
            “Tapi Iz tak nak mama. Iz dah ada pilihan sendiri.”
            “Siapa? Budak perempuan yang tak tahu asal usul tu?!” Tebak Datin Sofea garang. Hubungan Hariz dan Haryani sudah diketahui olehnya setelah anaknya itu memperkenalkan Haryani kepada mereka. Tetapi dia tidak bersetuju kerana latar belakang keluarga Haryani yang samar-samar. Lagi pula dia sangat berpegang dengan ucapan yang mengatakan sekiranya kita menginginkan keturunan yang baik-baik, mencari pasangan juga mestilah dari kalangan yang baik-baik. Bukanlah dia mengata Haryani dari keturunan yang tidak baik, tetapi ketidak tahuan asal-usulnya meragukan mereka.
            “Mama!” Hariz hampir menjerkah mamanya, tapi segera dihalang Dato Bahar
            “Huh, Iz cakap la apa sekali pun. Iz tetap akan kahwin dengan Ila!”
            Selepa itu Datin Sofea terus beredar meninggalkan ruangan itu. Lagi lama dia duduk di situ lagi panas rasanya.
            “Arrggh!” Tiba-tiba Hariz menjerit. Suaranya bagaikan hililintar mengejutkan orang-orang yang berada di sekelilingnya.
            Haryani terperanjat. Dia memandang wajah tegang Hariz. Kecut perutnya melihat wajah itu. Dia tidak tahu mengapa Hariz tiba-tiba menjerit. Pelanggan yang hadir juga jelas tercengang-cengang dan memandang ke arah lelaki itu. Haryani sendiri tertanya-tanya dengan apa yang terjadi. Segera dia menghampiri Hariz. Tangan kananya memegang lembut bahu Hariz. Dia yang baru ingin bersuara, terkejut dengan jerkahan lelaki itu yang secara tiba-tiba.
            “Kau nak apa?!”
            Haryani terus terdiam, dia menarik kembali tangannya dari tubuh Hariz. Bukan dia saja yang terkejut, tapi Hariz juga terkejut bila terpandang wajahnya.
            “Yani? Maaf, saya... Saya tak sengaja.” Hariz segera memohon maaf. Dia berdiri sambil memandang wajah Haryani yang tercengang.
            “Iz, awak okay?”
            Kelembutan suara Haryani menerjah gegendang telinganya. Hariz baru tersedar di mana dia berada sekarang. Dia meraup kasar wajahnya sambil beristighfar beberapa kali. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis yang jelas masih terkejut. Seketika mata mereka bertembung, Haryani melarikan wajahnya dari terus ditonton oleh Hariz. Tanpa kebenaran Haryani terus mengambil tempat bertentang dengan lelaki itu. Hariz bungkam, dalam terkejut ada rasa gembira kerana dapat bertemu dengan gadis pujaan hati. Lega dan terasa tenang hatinya melihat wajah itu.
            “Awak tak apa-apa ke Iz? Awak sihat? Ada apa-apa masalah ke?” Bertalu-talu Haryani menyoal. Hatinya disapa bimbang.
            Mana tidaknya, kekasihnya yang baik hati, dan lembut tutur katanya tiba-tiba berubah macam gorila.
            Hariz geleng. Rasa bersalah kerana telah memarahi Haryani, tapi niatnya bukan begitu. Kerana terlalu marah dan tertekan dengan masalahnya, dia telah melepaskannya pada orang yang salah, apatah lagi orang itu adalah kekasihnya. Hariz segera duduk bila terperasankan tumpuan orang ramai terarah padanya.
            “Iz ,awak okay ke tak ni?” Haryani tanya lagi. Semakin risau dibuatnya bila melihat kebisuan Hariz sejak tadi.
            Hariz tersenyum sambil mengelengkan kepalanya. Itulah salah satu sikap yang dia suka pada gadis itu. Sentiasa mengambil berat akan dirinya, tapi yang melucukannya adalah melihat Haryani mengelabah seperti sekarang.
            “Saya tak apa-apa, awak tak perlu risau. Awak buat apa dekat sini?” Kini giliran Hariz pula bertanya.
            “Saya datang makan la, kan office saya depan ni. Saya yang sepatutnya tanya awak soalan tu... Awak ni kenapa tiba-tiba jerit, buat saya takut je la. Awak ada masalah ke?” Dia masih belum berpuas hati selagi tidak mengetahui punca mengapa kekasihnya berang tadi, pasti ada sebab.
            Hariz merasa bersalah. Mulanya memang dia ingin mengajak Haryani makan tengah hari bersama, tapi kerana terikut-ikutkan perasaannya tadi dia terus terlupa dengan niatnya itu.
            “Takdak apa, awak jangan risau la. Saya rindu dekat awak je agaknya.” Lembut suaranya menjawab pertanyaan kekasih hati, mengelak dari terus membicarakan masalahnya. Jika ikutkan perasaan yang tidak menentu ini ingin diluahkan saja apa yang terbuku dalam hati. Tetapi dia masih waras, mana mungkin dia melukakan sekeping hati yang begitu rapuh.
            Haryani mengerutkan dahinya hairan, tapi malas ingin bertanya lebih lanjut memandangkan Hariz sedang tidak ingin berkongsi.
            “Apa-apa je lah. Jangan terpekik melolong lagi sudah la.”
            Hariz ketawa kecil. Kehadiran Haryani di depan matanya melegakan gelora hatinya untuk seketika. Dia merenung wajah Haryani lama, mata bening itu sentiasa menjadi sasarannya. Kerana dari mata, turun ke hati. Kerana dia yakin hati mereka berdua sedang berdegup kencang seolah sedang jatuh cinta pada pandang pertama.
            ‘Ya Allah... Aku mohon, Kau jadikanlah dia sebagai suri hatiku selamanya. Kerana hanya dia yang aku mahu.’ Doanya dalam hati.
            Wajah Haryani bersemu. Bukan dia tidak biasa dipandang oleh lelaki itu, tapi kali ini pandangannya sangat berbeza. Seolah ada makna tersirat disebalik pandangan itu.
            “Iz, kalau awak terus tengok saya, saya balik!” Ucapnya lantas mematikan lamunan Hariz. Dia sengaja berbicara bagi menghilangkan rasa tidak selesa dirinya. Haryani berpura-pura untuk pergi walaupun dia tahu Hariz pasti tidak izinkan.
            Hariz pantas menghalang dengan menyentuh hujung baju Haryani.
            Please, don’t go. Please, I need you. ” Hariz merayu. Wajahnya berubah sedih dan hilang arah.
            Hariz tak keruan bila Haryani ingin meninggalkannya. Dia perlukan Haryani ketika ini.  Dia tidak tahu masih adakah peluang untuknya bersama Haryani selepas ini. Kerana apa yang bakal terjadi nanti pasti merobek hati kekasihnya. Tidak! Dia tidak akan biar hal itu terjadi, dia tidak mungkin berpisah dengan Haryani. Dia perlu lakukan sesuatu yang boleh mengikat berdua selalu. Ya, itu yang dia perlu lakukan.
            Haryani merenung Hariz lama. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Hariz. Tapi apa? Kerana tidak sampai hati melihat Hariz sebegitu, akhirnya dia beralah juga. Dia bersetuju untuk menemani lelaki itu sepanjang hari. Selepas memberitahu Lia dan menjelaskan bayaran makanan, dia mengikut Hariz. Cuti separuh hari terpaksa diambil, walaupun sempat juga dia dileteri oleh Lia.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...