Followers

Selasa, 10 April 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 5


Note: Re-edit version

BAB 5

HARI ini hari Sabtu dan sepatutnya dia berada di rumah menghabiskan cuti hujung minggunya bersama Azie. Tetapi tiba-tiba saja Lia menghubuginya meminta bantuan untuk menyiapkan sebuah tender bersama. Jadi hari ini dia hanya mengenakan pakaian kasual untuk ke pejabat. Encik Karim majikannya turut ada. Masing-masing sibuk untuk siapkan kerja yang tertangguh.
            ‘Lambat pula Lia ni, janji nak datang pukul 9.30. Sekarang ni dah nak dekat pukul 10.00 pun tak sampai lagi.’ Haryani merungut dalam hati.
            Sementara menunggu Lia, dia menghidupkan komputer riba peribadinyanya yang berjenama Acer. Niatnya ingin menghilangkan bosan dengan melayari media sosial, tapi entah jari-jarinya gatal menekan folder yang mengandungi koleksi gambarnya. Sudah lama dia tidak mengusiknya, Haryani merenung gambar-gambar yang terlayar di skrin. Gambar-gambarnya bersama Azie terlayar satu persatu, kemudian gambarnya bersama Ila dan Sara pula terpapar. Setelah seketika gambarnya bersama Hariz pula. Lama dia merenung gambar itu. Tanpa sedar sebuah senyuman terukir di bibirnya.
            Bagaikan orang kurang siuman pula. Kadang-kadang tersenyum, kadang-kadang tersengih dan kadang-kadang ketawa sendiri. Dia menggigit bibir. Kenangan semalam belum pudar dari ingatannya.
            “Eee... Tak sabarnya nak kahwin!” Monolognya sendiri bersama perasaan teruja.           
            Sah! Memang dia sedang angau. Lamaran Hariz semalam seolah-olah memberi harapan baru dalam hidupnya. Tidak lama lagi angan-angannya akan menjadi kenyataan. Rasanya sudah tidak sabar untuk bersama lelaki itu. Hatinya menyanyikan lagu cinta yang tidak sudah sambil fikirannya melakar angan-angan yang ingin dikecapi bersama Hariz.
            Pulang saja dari bertemu Hariz semalam Haryani terus memberitahu Azie tentang lamaran tersebut. Reaksi Azie sewaktu disampaikan berita itu sama dengannya. Mereka sama-sama teruja dengan berita gembira ini. Mereka terlonjak-lonjak gembira seperti kanak-kanak yang baru mendapat gula-gula. Azie tumpang bahagia dengan perkhabaran itu, hubungan Haryani akan melangkah ke fasa yang baru. Bau nasi minyak sudah terhidu-hidu.
            “Assalammualaikum cik Yani oi… Tersenyum-senyum pulak dia, berangankan cik abang ke?” Sergah Lia yang tiba-tiba muncul. Dia berpeluk tubuh sambil mengangkat keningnya. Ada gaya Ziana Zain nampaknya.
            Haryani terkejut. Hampir tercabut jantungnya bila disergah tiba-tiba. Dia beristighfar seketika.
            “Eee… Kau ni Lia, tiba-tiba je datang. Terkejut aku, nasib baik tak kena heart attact tau.” Ujarnya separuh geram.
            “Kalau rindu dekat cik abang aku pun kenapa?” Sambungnya lagi.
            “Tak baik tau rindu-rindu dekat anak teruna orang. Tak malu!”
            “Hmm... Tu nasib baik dekat anak teruna, kalau suami orang macam mana?” Haryani mencebik.
            “Kalau aku rindu suami kau macam mana?” Ujarnya lagi mahu menyakat Lia. Saja mahu memancing cemburu Lia.
            “Hah, yang tu memang cari nahas. Kau nampak ni?!”
            Lia menunjukkan genggaman buku limanya pada Haryani. Wajahnya serius. Haryani ketawa, tahu pun marah!
            “Hmm... Ni mesti ada something yang aku tak tahu ni. Kalau tak takkan kau tersengih-sengih macam kerang busuk. Pasal Hariz ke? Cakaplah.”
            Dia sudah faham benar dengan perangai Haryani, kalau asyik termenung saja mesti pasal Hariz. Macam dah tiada benda lain yang boleh difikirkan. Haryani cuma tersenyum sambil menjungkit bahunya. Dia sengaja membiarkan Lia dalam teka tekinya.
            “Cakap la Yani, tak baik tau berahsia dengan aku.”
            “Mana ada, tak ada rahsia apa pun.” Haryani masih ingin bermain teka-teki bersama Lia, dia sengaja ingin mendera perasaan ingin tahu teman sepejabatnya ini. Haryani ketawa dalam hati. Seronok dia melihat sikap teruja Lia yang tidak sabar untuk mengetahui halnya.
            “Yani!” Lia menjerit geram, tetapi kembali merendahkan suaranya kerana takut menganggu rakan-rakan yang lain.
            “Baik kau cakap dekat aku sekarang. Apa yang Iz dah buat dekat kau?”
            “Mana ada, dia tak ada buat apa-apapun dekat aku. Kau je yang over.” Balas Haryani tenang.
            “Kalau tak ada apa, kenapa kau hari ni pelik semacam je? Muka tu macam ada something, macam ada nur.” Luah Lia akhirnya.
            “Sebelum ni muka aku tak ada nur ke? Aku solat hari-hari tau.” Tempelak Haryani sambil tersenyum-senyum. Agaknya mukanya lebih terserlah cahaya gembiaranya hari ini sehingga bersinar-sinar di mata Lia.
            “Bukan maksud aku macam tu, hari ni kau nampak lain dari biasa. Mesti ada sesuatu terjadi, kongsi la dengan aku.” Pujuk Lia lagi. Tidak puas hati selagi dia tidak mengetahui perkara yang sebenar.
            Haryani ingin berkongsi berita gembira ini bersama Lia, tapi rasanya lebih baik dia siapkan kerja mereka terlebih dahulu. Bila dah siap barulah dia akan ceritakan kepada Lia. Nanti kalau mereka nak menjerit terlolong, melompat pun tak apa. Sekurang-kurangnya nanti kalau Encik Karim nak marah pun, mereka boleh beritahu kerja mereka sudah siap, sejuk sikit hati orang tua itu nanti.
            Lia tidak membantah, secepat mungkin dia cuba menyiapkan proposal kerjanya sambil dibantu Haryani. Tak sabar-sabar juga dia ingin mendengar hal ingin diberitahu oleh Haryani nanti. Dari riak wajah Haryani yang ceria hari ini Lia boleh mengagak pasti berita baik.
            ‘Agaknya Haryani dapat barang mewah dari Hariz kut. Maklumlah, anak orang kaya.’ Bisik hati Lia.
            Setelah beberapa seketika akhirnya tender itu siap juga. Masing-masing menarik nafas lega, Lia mengucapkan terima kasih kepada Haryani. Dia mengeliat sambil membuat senaman ringkas bagi menghilangkan lenguh di sendi-sendinya. Dia melihat jam yang terpapar di skrin komputer ribanya sudah pukul 1.00 petang, dah waktu makan tengah hari pun. Alang-alang baik dia ajak Lia makan tengah hari bersama sambil bercerita nanti.
            “Okay la, kita lunch dulu. Nanti aku cerita dekat kau okay?”
            “Okay.” Jawabnya ringkas. Perutnya juga sudah bernyanyi sejak tadi.
            Haryani mengemas mejanya dan menyimpan semula komputer ribanya ke dalam beg. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, nama Hariz tertera di situ. Bibirnya semakin lebar tersenyum. Dia memberi isyarat kepada Lia untuk menjawab panggilan itu, kemudian dia beredar ke tempat yang agak sepi untuk menjawabnya.
            “Hai sayang, awalnya call.” Perli Haryani sebaik saja menjawab panggilan dari kekasihnya itu. Hariz telah berjanji untuk menghubunginya pagi ini, tetapi baru sekarang dia dihubungi.
            Dia mengharapkan suara Hariz yang membalasnya tapi sebaliknya dia mendengar suara perempuan sedang menangis tersedu-sedan. Hairan, nikan telefon Hariz macam mana pula ada perempuan yang menjawabnya? Dadanya mula berdegup kencang.
            ‘Siapa dia ni?’
            “Yani.” Tutur suara di sana dalam sendu yang belum sudah. Teresak-esak kedengarannya.
            Haryani terdiam. Jelas orang itu mengenalinya, kalau tidak masakan dia tahu nama panggilannya. Fikirannya mulai diterjah dengan pelbagai soalan. Siapa perempuan ini? Apa yang dia buat dengan Hariz?
            “Yani. Ni aku Ila.” Jelasnya lagi.
            “Ila?!” Dia jelas terkejut. Suara Ila sedang berada ditalian. Bagaimana telefon bimbit kekasihnya berada di tangan temannya?
            Haryani tidak sedap hati. Tambahan pula mendengar tangis Ila yang masih belum berhenti, hatinya terus disapa resah. Peluh mula menampakkan bayangnya di dahi dan tengkuknya. Wajahnya pucat. Apa yang berlaku pada Hariz? Bagaimana Ila ada bersama kekasihnya?
            “Ila, kenapa ni? Hariz mana?” Tanya Haryani tidak sabar.
            “Aku minta maaf Yani… Aku minta maaf.” Ulang Ila berkali-kali sambil menangis.
            Tingkah Ila yang memohon maaf padanya sambil menangis  menghairankannya.
            ‘Ada sesuatu yang buruk terjadi kepada mereka ke?’ Dia mula mula risaukan mereka, kebetulan Sara dan Ila juga sedang berada di Ipoh. Hatinya tidak tenang ketika ini, andaian-andaian buruk mula bermain dibenaknya.
            ‘Ya Allah, apa yang terjadi pada Hariz? Lindungilah mereka Ya Allah.’
            “Ila, apa yang berlaku? Macam mana telefon Iz ada dekat kau?” Bertalu-talu soalan diajukannya. Kalau boleh dia mahukan jawapan segera.
            “Aku… Aku dan Hariz...” Belum sempat Ila berbicara talian diputuskan.
            “Ila? Hello, Ila?”
            Geramnya bila talian diputuskan tiba-tiba. Dia melihat jam di pergelangan tangan sudah menginjak pukul 1.30 petang. Tanpa membuang masa lagi dia terus menghampiri Lia. Dia akan ke Ipoh sekarang juga. Janjinya pada Lia terpaksa dibatalkan.
            Sorry Lia, aku kena balik sekarang juga. Ada hal urgent.” Ujarnya tergesa-gesa.
            “Kau okay ke tak ni? Apa yang berlaku?”
            Haryani menggeleng. Wajahnya yang pucat membimbangkan Lia. Matanya yang merah seperti menahan tangis.
            “Hariz. Aku rasa ada sesuatu yang berlaku dekat dia. Aku nak ke Ipoh sekarang juga.”
            “Okay, tapi kau seorang je ke?”
            “Takpa, nanti aku call housemate aku minta teman.”
            Tanpa membuang masa lagi dia segera menghubungi Azie. Tidak mengambil masa yang lama untuk panggilannya dijawab.
            Hello Azie. Kau free tak sekarang?”
             “Haah, kenapa?”
             “Zie, aku nak minta tolong temankan aku ke Ipoh?”
            “Hah?! Bila?”
            “Sekarang. Nanti apa-apa hal aku cerita dekat kau.”
            “Haa... Okay, okay.” Azie tidak banyak soal, kebetulan dia tiada apa-apa yang dilakukan jadi baik dia menemani Haryani ke sana.
            “Kau bersiap sekarang, aku ambil kau lepas ni.”

HARIZ menyambut tangan bakal bapa mentuanya, dengan sekali lafaz akhirnya dia sah menjadi suami kepada Nabila Atiqah. Tetamu-tetamu yang hadir mengucap syukur, setelah doa dibaca Hariz meminta diri untuk menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum upacara membatalkan air sembahyang. Dalam hatinya yang masih bercelaru, Hariz hanya mampu berdoa semoga segalanya berjalan lancar. Biarpun Ila bukanlah isteri pilihannya tak mungkin baginya mengabaikan wanita itu.
            Akad nikah yang diadakan di sebuah masjid penuh dengan sanak-saudara dari kedua belah pihak. Ila berada di belakang Hariz sewaktu akad nikah mereka berlangsung. Berderbar-debar dadanya mendengar namanya disebut oleh Hariz sebentar tadi. Tidak tahu bagaimana ingin diungkap perasaanya. Sedih, terharu dan gementar bersatu menjadi satu. Puan Khadijah dan Datin Sofea sentiasa disampingnya sambil mengenggam erat tangannya, Sara pula sibuk menjadi jurugambar tidak berbayar untuknya.
            “Alhamdulillah, sayang dah jadi menantu mama. Mama harap Ila boleh jadi isteri yang terbaik buat Hariz, bantu dia jika dia ada masalah, dan sayanglah Hariz macam mana Ila sayang diri sendiri.” Pesan Datin Sofea sambil memeluk tubuh menantunya erat.
            Akhirnya niat untuk berbesan dengan Puan Khadijah tercapai juga. Dilihat suaminya sedang berbual rancak bersama Encik Masri, ayah Ila. Masing-masing gembira dengan majlis yang berlangsung sebentar tadi.
            Ila cuma tersenyum dan mengangguk saja, dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Ingin membantah rasanya tidak wajar. Datin Sofea sekarang adalah ibu mentuanya. Dia juga harus menghormati Datin Sofea seperti mana dia menghormati ibunya. Kalaulah Datin Sofea tahu hubungannya dengan Hariz seperti apa, apakah dia akan meminta dirinya untuk menjadi isteri yang baik untuk Hariz?
            Puan Khadijah  tidak kalah menasihatinya dengan pelbagai petua rumah tangga. Ibunya juga memberitahu petua-petua untuk memikat hati suami, dia hanya ketawa mendengarnya. Bagaimanalah dia akan memikat suaminya kalau suaminya sendiri telah menyerahkan hatinya kepada wanita lain? Mengingat hal itu hatinya bagaikan disiyat-siyat. Apatah lagi bila melihat kegembiraan ibu dan ayahnya bila mendapat seorang menantu yang disangka dapat menjaga dirinya. Sedangkan hakikatnya belum pasti begitu. Mereka belum kenal siapa Hariz.
            Selepas solat sunat Hariz menghampiri Ila dan orang tua mereka. Matanya merenung wajah cantik isterinya. Kosong dan tiada perasaan itu yang dirasakannya. Mereka memakai pakaian berwarna putih sedondon untuk majlis akad nikah, untuk majlis bersanding baju pengantin berwarna royal blue  menjadi pilihan. Majlis persandingan akan diadakan sebentar lagi di rumah keluarga mentuanya. Mereka akan diarak ke rumah pengantin perempuan memandangkan jarak dari masjid ke rumah keluarga Ila hanya beberapa meter sahaja.
            Ila berdebar-debar menanti Hariz menyarungkan cincin di jari manisnya. Dia tunduk menyalami tangan Hariz yang kini sah bergelar suaminya. Rasa tidak percaya saja. Kini giliran dia pula menyarungkan cincin di jari Hariz, selepas itu Hariz mencium dahinya. Tergamam seketika dia, tapi dia berusaha untuk bersikap tenang memandangkan ramai mata yang sedang memerhatikan mereka.
            ‘Fuhh... Rileks Ila, rileks.’
            Selesai acara membatalkan air sembahyang, mereka segera beredar untuk bersiap bagi majlis bersanding sebentar lagi. Ila dan Hariz segera beredar ke bilik persalinan yang disediakan oleh pihak masjid. Tanpa pengetahuan Hariz, Ila telah merancang untuk memberitahu perkara sebenar kepada Haryani. Dia sengaja meminta telefon bimbit Hariz dari Datin Sofea yang kebetulan memegangnya.
            Sebenarnya dia tidak sampai hati untuk meberitahu hal ini kepada Haryani, tetapi atas desakkan Sara akhirnya dia bersetuju juga. Berdebar-debar dadanya menekan nombor telefon Haryani. Tiba-tiba air matanya mengalir lagi, perasaan sedih dan takut bertukar menjadi satu. Dia tidak tahu bagaimana penerimaan Haryani nanti. Setelah sekian detik menunggu akhirnya panggilannya terjawab.
            “Yani.”

HARIZ berjaya merampas telefon bimbitnya dari tangan Ila. Matanya tajam memandang wajah isteri yang baru dinikahinya itu. Wajahnya pula merah padam menahan marah yang sudah dihujung-hujung itu. Berani-beraninya Ila menyentuh barangnya tanpa izin. Wajah kacaknya berubah bengis hingga menyebabkan Ila berdecik takut.
            “Apa kau buat ni hah? Kenapa kau called Yani guna phone aku? Apa tujuan kau hah?!” Tengking Hariz sambil menahan suaranya dari terus meninggi, risau tetamu diluar akan mendengarnya.
            “Saya nak bagi tau Yani perkara sebenar! Saya dah tak tahan lagi dengan penipuan ni!” Terang Ila bersama air mata yang sejak tadi membasahi pipinya.
            Hariz yang geram dengan kenyataan itu segera mencengkam kuat lengan isterinya dan menolaknya ke dinding.
            “Aww, sakitlah.” Rintihnya sambil cuba melepaskan cengkaman Hariz darinya.
            “Hei! Kau dengar sini baik-baik. Kalau kau berani bagi tahu Yani perkara ni siap kau!”
            “Habis, saya macam mana pula? Saya sekarang isteri awak, awak tak boleh abaikan saya macam tu je!”
            “Argghh! Aku tak peduli. Aku nak kau pastikan Sara pun tak bagi tahu hal ni dekat Yani. Kalau tak dua-dua aku kerjakan, jangan ingat aku tak boleh!” Ujar Hariz lantas beredar dari bilik persalinan tersebut. Mujurlah dia sempat menghalang Ila dari mengatakan hal sebenar kepada kekasihnya, kalau tidak musnah rancangannya untuk menikahi Haryani.
            “Gila! Psiko ke apa hah mamat ni?!” Ila mengeluh kasar. Air matanya yang masih basah di pipi disapu kasar. Solekkan yang tadi cantik menghias wajahnya kini sudah rosak. Nak tak nak dia terpaksa meminta sepupunya untuk menyoleknya semula, nasib baiklah sepupunya itu berbaik hati untuk melakukannya. Sebentar lagi majlis bersanding akan bermula, dia perlu menenangkan dirinya dan melupakan masalah yang sedang melanda dirinya.

“MACAM mana, dapat contact Sara?” Soal Haryani sambil memandu menuju ke Kampung Baharu, Ipoh. Dia tidak tahu ke mana harus dituju, yang dia tahu hanyalah kampung halaman Ila dan Sara.
            Azie menggeleng lagi. Entah berapa puluh kali dia cuba hubungi Sara, Ila dan Hariz tapi setiap kali itu juga operator telefon yang menjawabnya.
            “Ish, mana diorang ni?” Rungut Azie geram.
            Kereta Perodua Myvi dipandu laju. Sepanjang perjalanan Haryani resah memikirkannya. Azie pulak tidak henti mengomel memarahi teman-temannya yang lain. Kalau boleh dia mahu segera sampai dan bertemu dengan Hariz. Dia ingin melihat sendiri dengan matanya keadaan Hariz ketika ini. Risau jika ada sesuatu yang berlaku, Haryani tidak tahu mengapa dia harus pergi ke rumah Ila, sedangkan belum tentu mereka berada di sana. Sekarang ini cuma tempat itu saja yang dia tahu.
            “Kau rileks sikit Yani, nak tercabut jantung aku tengok kau drive ni.” Tegur Azie. Dia memegang kuat tali pinggang, risau rasanya melihat kelajuan kereta yang sedang meluncur laju di atas jalan raya.
            Haryani yang baru tersedar dengan perbuatannya segera mengurangkan kelajuan kereta dan menukar ke lorong kiri.
            ‘Sabar Yani, sabar. InsyaAllah takda apa yang berlaku pada Hariz.’
            Sorry. Aku tak boleh fokus sekarang ni. Macam mana, ada apa-apa berita dari Ila ke, Sara ke?”
            Azie geleng.
            “InsyaAllah Hariz baik-baik je. Kau jangan risau okay?” Pujuk Azie lagi. Dia tahu Haryani risau, tapi dia tak mahu hal ini menganggu fikirannya hingga boleh memberi kesan yang buruk.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...