BAB LIMA
PERJALANAN dari
Kuala Lumpur ke Ipoh cuma mengambil masa sekitar dua jam setengah. Haryani
mengambil keputusan untuk menyusul Hariz dan Ila ke Ipoh, setelah menerima
panggilan dari Ila tadi. Akhirnya mereka sampai setelah memandu tanpa rehat,
perjalananannya hari ini ditemani oleh Azie. Dia rasa bersalah kerana telah
menganggu rehat temannya dihujung minggu, tapi dia tiada siapa-siapa untuk
mengadu selain kepada Azie, nasib baiklah sahabatnya sudi menemaninya.
Kerana tidak tahu ke mana harus
dituju, akhirnya Haryani mengambil keputusan untuk pergi ke rumah orang tua Ila
di Kampung Baru. Bertahun-tahun mengenali Sara dan Ila, dia sudah cukup kenal
dengan jalan ke rumah mereka. Walaupun terletak di sebuah kampung, rumah-rumah
di sini dibina atas tanah lot, dan rumah-rumah disini dibina layaknya banglo
seperti di kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur. Oleh itu, setiap lorong dan
jalan yang menghubung setiap persimpangan diturap dengan tanah dan tar.
Haryani memakir keretanya tidak jauh
dari rumah Ila. Dari jauh dia sudah nampak khemah-khemah yang terpacak
diperkarangan banglo dua tingkat itu dan ramai orang datang berkunjung dan
pergi. Seperti ada kenduri kahwin saja. Tiba-tiba hatinya berdegup kencang,
tidak senang duduk dia ketika ini.
“Macam mana? Sara ada reply
messsage atau call kau tak?” Tanya Haryani semakin tidak sabar.
“Takdak wei, dua-dua orang tu
langsung tak angkat call aku. Macam mana sekarang?”
Azie yang mengetahui tujuan mereka
ini juga dilanda gelisah dan tidak sedap hati. Apatah lagi melihat keadaan di
rumah Ila yang seperti sedang melangsungkan majlis perkahiwnan saja. Janganlah
terjadi seperti apa yang diceritakan Haryani. Tak terbayang akan perasaan
Haryani yang akan hancur ditipu si kekasih hati dan sahabat baiknya sendiri.
Dua pengkhianatan dalam satu masa dan tidak boleh diterima.
“Kau betulkah nak pergi ke sana
sekarang? Aku takutlah.” Luah Azie jujur.
Haryani punya hal, dia pula yang
takut. Haryani juga berperasaan yang sama seperti Azie. Dia juga takut andai
betul kenyataan yang di sampaikan Ila pagi tadi. Tidak tahulah bagaimana dia
akan menghadapi kenyataan itu nanti. Tapi selagi dia tidak mendapat kebenaran,
selagi itulah hatinya tidak puas. Biarpun dia harus terluka selepas ini.
‘Harap-harap ini semua hanyalah
mimpi atau gurauan. Janganlah majlis yang sedang berlangsung sekarang, majlis
Hariz dan Ila.’ Hatinya bermonolog.
Mereka berdua berjalan menghampiri
rumah itu, masing-masing berdebar-debar ingin tahu. Puan Khadijah dan Encik
Ibrahim sedang berada dibarisan hadapan, menyambut tetamu yang datang silih
berganti. Jelas terpancar kebahagian diwajah orang tua Ila ketika ini. Haryani
dan Azie segera menghampiri mereka dan bersalaman sebagai tanda menghormati
tuan rumah rumah.
Puan Khadijah yang mengenali
sahabat-sahabat anaknya segera menegur.
“Laa, kenapa Yani dan Azie baru
datang? Ni pengantin dah nak kena gerak untuk outdoor.”
“Maaflah mak cik, tadi ada kerja
sikit. Masa bertolak dari KL pun dah lambat.”
Haryani beralasan, sedangkan dia
sendiri tidak tahu majlis siapa yang sedang berlangsung. Dia hanya mengikuti
rentak perbualan Puan Khadijah, seolah-olah mereka sudah mengetahui apa yang
berlaku. Rasa bersalah pula bila main terjah saja majlis orang.
“Ila mana mak cik?” Tanya Azie pula.
“Haa, dekat sana tu, tengah
perkenalkan suami dia dekat kawan-kawan. Pergilah, makanlah dulu.”
Haryani menggigit bibir. Dia dan
Azie saling berpandangan, seolah-olah mengesahkan apa yang difikirkan mereka.
Luruh jantungnya sebaik perkataan suami lepas dari bibir Puan Khadijah.
Walaupun mereka berdiri jauh dari
pasangan pengantin itu, Haryani boleh mengesahkan yang suami yang dimaksudkan
Puan Khadijah ialah Hariz, lelaki yang baru melamarnya semalam. Hancur
perasaannya bila dikhianati orang yang dipercayainya selama ini.
Air matanya tidak dapat dibendung
lagi, dia hanya mampu menangis tanpa suara melihat pasangan pengantin yang
saling tersenyum lebar dan berpeganggan tangan itu. Bibirnya digigit kuat,
menghalang dari mengeluarkan esakkan yang memalukan. Kini terjawab sudah
persoalannya hari ini.
Azie turut terpana memandang Hariz
dan Ila. Seolah-olah tidak percaya apa yang sedang dilihatnya sekarang. Mereka
tersenyum bahagia seolah-olah tidak melakukan kesalahan. Hatinya meradang
melihat pengkhianatan ini, jelas dia tidak boleh terima. Mana Haryani hendak
letak mukanya nanti? Bercinta dengan orang lain, menikah dengan orang lain.
Sudahlah hati Haryani disakiti, maruahnya pula dipijak-pijak tanpa belas.
Haryani segera melarikan diri, dia
ingin pergi dari sini dan melupakan semua rasa pedih di hati ini. Dia tidak
berdaya berhadapan dengan Hariz dan Ila sekarang, apatah lagi perkahwinan
mereka ini pasti mendapat restu daripada Datin Sofea dan Dato Bahar. Dia juga
perasankan wajah bahagia orang tua Hariz di situ. Daripada membuat kecoh, baik
dia pergi saja. Silap haribulan dia juga yang malu nanti.
“Yani!” Panggil Sara kuat, dia
terkocoh-kocoh mengejar mereka.
Haryani berhenti seketika, berpaling
memandang Sara yang kelihatan terkejut dengan kehadiran Azie dan dia di sini.
Cukup mereka bertentang mata dan tanpa bicara, Sara sudah tahu yang mereka
sudah melihat segalanya. Haryani segera pergi. Menghidupkan enjin kereta dan
pergi meninggalkan tempat yang melukakan ini.
“TIDAK!”
Hariz terjaga dari
lenanya. Dadanya berombak ganas, dia tercungap-cungap seolah-olah baru lepas
lari seratus meter. Peluh jantan kelihatan di wajahnya. Matanya pula meliar
memerhati segenap ruang itu. Dia mengeluh nafas lega, mimpi rupanya.
Sejak pernikahannya
berlangsung dua hari yang lalu, dia kerap mimpikan hal-hal yang tidak
membahgiakan. Dia kerap kali mimpikan Haryani yang tidak lagi mengendahkannya,
dan pergi meninggalkannya selepas mengetahui hal yang sebenar. Di dalam mimpi
itu, dia cuba memujuk dan memohon, tapi gadis itu langsung tidak
mengendahkannya, Haryani tetap melangkah pergi tanpa menoleh kembali.
Dia segera mencapai
telefon bimbit yang berada di atas meja di samping sofa tempat dia berehat.
Ingin memeriksa andai ada pesanan ataupun panggilan daripada kekasihnya itu.
Sekali lagi dia hampa, telefon bimbitnya bersih daripada notifikasi ataupun
panggilan telefon.
Sejak dua hari yang lalu
dia tidak lagi mendapat khabar dari Haryani, seolah-olah kekasihnya hilang
ditelan bumi. Dia ada juga cuba menghubungi dan menghantar pesanan, tapi tidak
pernah berbalas dan berjawab. Dia tidak sedap hati, Haryani tidak pernah menghilangkan
dirinya. Apa-apa berita pasti akan dimaklumkan kepadanya.
Dia ingin bangun dan
menuju ke bilik air. Tapi dikejutkan dengan sesusuk tubuh yang sedang memerhatinya
dengan pandangan hairan.
“Awak tak apa-apa ke Iz?”
Soal Ila prihatin. Dia yang sedang membaca novel sebentar tadi, turut terkejut
dengan pekikak Hariz yang tiba-tiba.
“Hmm, takdak apalah. Saya
nak solat dulu, mama dan papa ke mana? Dari pagi tadi saya tak nampak.” Hariz
baru teringat dia belum menunaikan solat zohor lagi. Lama dia tertidur tadi,
sampai tak sedar zohor sudah masuk.
“Abah bawa pergi kebun,
petang baru balik kut. Awak nak makan tak? Saya boleh siapkan dekat bawah.”
Ila prihatin, walaupun
perkahiwnan mereka tanpa cinta, itu tidak bermakna dia tidak endahkan Hariz.
Apatah lagi di rumah oarang tuanya sekarang, apa pula kata orang tua mereka.
Hariz tidak segera
menjawab.
“Ila, Yani ada call
atau message awak tak? Saya cuba call dia, tapi tak berjawab.”
Ila sedikit tersentak
dengan pertanyaan tiba-tiba Hariz. Dia cuba berlagak selamba, seolah-olah tidak
mengetahui apa-apa. Dia tidak mahu Hariz mengesyaki apa-apa padanya.
“Takdak, kenapa?”
“Hmm, pelik. Dah dua hari
dia tak balas message atau call saya.” Luah Hariz gusar. Di
hadapan Ila dia bebas bertanyakan soal Haryani. Hubungannya dengan Haryani
bukan rahsia kepada Ila.
“Awak cuba call
Azie, kut-kut dia tahu.”
“Sama saja, dua-dua tak
jawab. Dia orang macam sengaja nak mengelak dari saya.”
‘Azie pun?! Jangan-jangan
dia pun dah tahu,’ Ila bermonolog. Tak tertelan air liurnya ketika ini. Dia
boleh bayangkan wajah tidak puas hati Azie. Temannya yang seorang ini pula
jenis kepala angin, kalau dia marah, kecut perutnya.
Selepas solat dan makan
tengah hari, Hariz dan Ila sengaja mengambil tempat dibuaian di bawah pokok
rambutan di hadapan rumah. Sebelum menikah, hubungan mereka tidak sebaik
sekarang, duduk semeja pun boleh bergaduh. Ajaibnya, selepas menikah boleh pula
mereka duduk bersama dan berbual tanpa ada sengketa. Mungkin kerana beban yang
dipikul selama ini sudah terlepas. Mereka sudah berjaya mengwujudkan mimpi
orang tua mereka untuk bersatu sebagai sebuah keluarga, walaupun mereka tidak
tahu selama mana hubungan ini dapat bertahan.