Note: Re-edit version
BAB 7
SAMPAI
saja dari Ipoh, Haryani terus mengurung dirinya di dalam bilik. Azie cuba
memujuk, tapi Haryani langsung tidak mengendahkannya, dipekakkan telinganya
dari mendengar segala nasihat dan rayuan. Akhirnya dia mengalah, dibiarkan saja
Haryani melayan perasaan yang sedang lara. Bukan mudah bagi seseorang untuk
menerima kekecewaan ini, apatah lagi ia melibatkan soal hati dan perasaan. Tiga
tahun lamanya Haryani dan Hariz menyulam cinta mereka, tapi akhirnya punah
begitu saja. Haryani hilang arah memikirkan hal ini. Sanggup Hariz
mengkhianatinya, mengkhianati janji-janjinya. Tiada langsungkah ikhsan di
hatinya?
‘Takpa, baru sehari. Esok-esok okay
la tu.’ Pujuk Azie cuba menyedapkan hatinya.
Dia tidak tahu di mana salahnya dan
di mana kurangnya. Selama ini dia sudah berusaha menjadi yang terbaik untuk
Hariz dan orang tuanya, menjaga hati dan perasaan mereka sehingga kadang-kadang
perasaanya sendiri terabai. Tapi sebelah mata pun tak dipandang, akhirnya tetap
dia bukan menantu pilihan mereka. Dia pasti hal ini ada kaitanya dengan orang
tua Hariz, mereka sudah lama tahu hubungannya bersama Hariz, tapi kenapa tetap
teruskan pernikahan itu? Dia sayangkan hubungan mereka, tapi apa boleh buat?
Nasi dah jadi bubur. Silapnya cuma satu, dia cintakan orang yang salah!
Haryani tidak bermaya untuk bangun, tubuh
dan kepalanya terasa berat, tapi digagahkan juga dirinya bangun untuk
membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib yang hampir berlalu. Selepas
membersihkan diri dan berwuduk dia terus menunaikan solat maghrib, lama dia
berteleku ditikar sejadah. Apa yang dirasakannya sekarang hanya Allah S.W. T.
punca kekuatannya ketika ini. Haryani merasa berdosa, dikala dia alpa, dia terlupa
kepada Maha Pencipta, dikala berduka, barulah dia teringatkan-Nya.
“Ya Allah, ampunilah dosaku.” Ujarnya
perlahan bersama juraian air mata yang mulai turun.
Haryani mengangkat tangan berdoa
kepada Allah S.W.T., lama dia begitu, bibirnya perlahan-lahan bergerak membaca
doa. Ketika ini matanya bagaikan empangan yang pecah, lama dia tersedu-sedan
mengadu kepada yang Maha Mendengar, supaya hatinya lebih tenang. Selesai saja
mengaminkan doa dan menyimpan telekungnya, dia duduk di birai katil sambil
termenung jauh. Kejadian siang tadi masih terbayang-bayang di matanya, setiap
kemesraan mereka menghancurkan hatinya. Dia memejamkan mata sambil cuba melupakannya.
‘Takpa, aku kuat. Aku boleh lupakan
dia! Aku mesti kuat. Allah ada dengan aku.’ Hatinya memujuk. Sebolehnya dia
tidak mahu terus marahkan mereka atau berdendam dengan mereka. Kalau boleh dia
mahu maafkan mereka seadanya.
Tapi semakin dia menidakkannya,
semakin jauh dia fikirkan. Syak wasangka terhadap hubungan Ila dan Hariz mula
timbul dibenaknya.
‘Mungkin Ila dan Hariz dah lama
bercinta kut, aku je yang tak tahu. Hariz pula mungkin tak sampai hati
nak minta putus dengan aku, jadi sebab tu dia rahsiakan.’ Fikirnya dalam hati.
Mungkin dialah penghalang sebenar
hubungan ini, hingga memaksa Hariz dan Ila berkahwin senyap-senyap. Haryani
mengeluh. Andai betul apa yang difikirkannya, perasaanya akan lebih dalam
terluka. Dia bukan boneka tanpa perasaan yang mudah diperkotak-katikkan. Dia
lebih rela mereka berterus-terang dengannya dari awal.
Kepalanya kembali berdenyut-denyut,
pening memikirkan masalah ini. Dia memicitnya perlahan. Tiba-tiba pintu bilik
kembali diketuk. Pasti Azie.
“Yani, jom makan. Aku dah belikan
makanan favourite kau.” Panggil Azie di muka pintu. Haryani segera
bangun membuka pintu. Kesian pula bila sejak siang tadi lagi pintu bilik
berkunci.
“Sorry Zie, aku tak lapar la.
Kau makan sorang je la.”
“Kau okay ke tak ni Yani?” Soalnya
prihatin sambil melabuhkan punggung di sebelah sahabat baiknya itu.
“Aku okay, pening sikit je.” Jawabnya sambil tersenyum kecil.
Wajahnya kelihatan pucat tidak berdarah, matanya pula merah dan bengkak.
“Okay, kalau macam tu kau makan
dulu. Lepas tu baru tidur.” Saran Azie lalu berdiri dan ingin ke dapur semula
tapi terbantut bila Haryani menolak ajakkannya.
“Aku tak laparlah Zie, kau makan
sorang jelah.”
“Yani, jomlah... Kau tu dah la tak
makan apa-apa dari siang lagi, nanti perut masuk angin sakit pulak.” Azie masih
memujuk.
Haryani menggeleng, matanya kembali
berkaca-kaca. Dia memandang Azie lama, bibirnya pula bergerak-gerak seolah-olah
ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Azie seakan memahaminya, segera dicapai
tangan sahabatnya dan duduk di sampingnya.
“Kau nak cakap apa, takpa aku
dengar.” Ucapnya prihatin. Saat ini pastilah Haryani perlukan bahu untuk
bercerita dan meluahkan segala isi hatinya.
“Zie, kau rasa semua ni salah aku
ke?” Tanya dia tiba-tiba.
“Eh, salah kau pasal apa pulak? Yang
salah tu diorang, bukan kau.”
“Tapi, entah la. Aku rasa diorang
dah lama ada hubungan. Mungkin Hariz tak cintakan aku lagi, so sebab tu
dia kahwin dengan Ila. Jadi diorang rahsiakan hal ni dari aku, bila dah settle
semua baru diorang plan nak bagi tahu.” Ucap Haryani panjang lebar. Akhirnya
terluah juga apa yang terbuku di hatinya. Air matanya kembali mengalir.
“Kau ni banyak sangat fikir. Aku
rasa tak. Kalau Hariz tak suka kau, kenapa dia melamar kau?”
“Tapi kan...”
“Takdak tapi-tapi. Dalam hal ni kau
adalah mangsa keadaan, kau tak perlu rasa bersalah pun. Diorang yang sebenarnya
patut explain dekat kau!” Ucap Azie tegas.
“Habis tu, kau rasa apa yang patut
aku buat? Aku bingung!”
“Okay macam ni, apa kata kau tunggu
diorang balik KL dulu. Lepas tu korang jumpa dan berbincang. Aku tak rasa
diorang dapat tipu kau sampai bila-bila.”
Haryani tidak menjawab. Hati dan
fikirannya masih bercelaru. Kalau ikutkan hatinya, hari ini juga dia mahukan
penjelasan dari mereka. Tapi dalam masa yang sama dia takut untuk menghadapi kenyataan.
Kenyataan yang sebenarnya Hariz bukan miliknya lagi.
“Dah la, tak payah nangis lagi. Mata
tu dah bengkak pun.” Pujuk Azie.
“Zie, patut ke aku putus dengan
dia?”
Pertanyaan ini betul-betul membuat
Azie terdiam. Kalau ikutkan fikiran yang waras, memang patut Haryani putuskan
hubungan mereka. Tapi kalau masing-masing masih terikut-ikut dengan perasaan
cinta yang masih ada, pasti hal itu paling mustahil.
“Zie, aku dah sayang dia
sangat-sangat. Kau bayangkan lah dah tiga tahun kitorang bersama, bukan mudah
untuk aku lupakan dia.” Luah Haryani bersama perasaan kesal.
“Yani, aku tahu kau cintakan Hariz.
Tapi sekarag ni dia dah jadi suami orang, suami kawan baik kau lagi! Aku
bukanlah nak memaksa kau untuk putuskan hubungan korang ni. Tapi kau dan dia
masing-masing dah matang untuk fikirkan yang mana betul, yang mana salah. Aku
cuma harap kau dapat buat keputusan terbaik untuk masa depan kau.” Ucap Azie
berhati-hati. Sebolehnya dia tidak mahu melukai hati sahabatnya, tapi dia juga
tidak mahu dia hancur di dalam hubungan toksik ini.
Selepas itu Haryani terus terdiam.
Dia faham dengan maksud Azie. Dia merenung cincin yang tersemat di jari
manisnya, lama. Pada akhirnya dia juga harus membuat keputusan, keputusan yang
cukup berat baginya. Dan di mana ia akan mengubah segala-galanya, kerana cinta
bukan milik mereka.
Seketika kemudian Azie mengajaknya
lagi untuk makan malam, tapi ditolaknya dengan baik.
“Okaylah kalau macam tu. Lepas
isyak, make sure kau terus tidur. Tak payah nak fikir sangat pasal ni.”
Haryani
hanya mengangguk, mengiakan saja saranan teman baiknya itu. Tapi bila
bersendirian, fikiranya melayang-layang memikirkan orang di sana. Memikirkan
kenangan-kenangan lalu yang mengusik perasaan. Teringat pada lamaran Hariz
tempoh hari, dia teringatkan angan-angan mereka yang tak mungkin dipenuhi.
“Yani, bila kita dah
kahwin awak nak berapa orang anak?” Tanya Hariz jujur. Ketika itu Hariz terlalu
seronok apabila Haryani menerima lamarannya. Matanya yang redup galak merenung
wajah lembut Haryani.
Keningnya terangkat bila
diusulkan dengan pertanyaan sebegitu, kahwin pun belum berangan nak ada anak
dah?!
“Kahwin dulu, barulah
boleh cakap pasal anak.” Jawabnya tenang.
“Sebab nak kahwinlah saya
tanya, kalau boleh sekarang juga saya nak kahwin dengan awak. Awak pulak
sanggup ke jadi ibu untuk anak-anak kita nanti?”
“Eh, dah tentu la! Tambah-tambah
ayah diorang hensem macam awak.” Haryani turut teruja,tidak sabar rasanya
menanti hari itu.
“I love you.” Tutur Hariz dengan nada romantis.
“I love
you too.”
Lamunannya hilang bila Azie menegurnya.
‘Ya Allah, jika jodohku
bukan dengannya. Kau hilangkanlah perasaan ini.’ Doanya dalam hati.
DI LUAR, kilat saling sambung menyambung dan guruh berdentum kuat,
menandakan malam itu akan hujan. Di rumah banglo dua tingkat itu kelihatan
sunyi dan hanya disinari lampu malap. Hariz sedang minum minuman kegemarannya
sambil memandang kosong skrin televisyen, di tangannya pula tergenggam erat
telefon bimbitnya. Dia teringatkan seseorang, dia rindukan orang itu dan dia
juga ingin bertemu dengannya. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi si dia, tapi
satu panggilan pun tidak berjawab. Dia risau dan dia juga marah. Tapi disabarkan
hatinya memandangkan si dia tiada di depan mata. Tambahan pula dia di tempat orang,
takkan dia nak buat kecoh pula. Hariz cuba bersangka baik, mungkin Haryani
sudah tidur, lagi pun sekarang sudah agak lewat.
“Hah Iz, tak tidur lagi? Dah pukul
berapa ni, kesian Ila dalam bilik tu tunggu Iz.” Sergah Datin Sofea tiba-tiba
yang ketika itu melewati dapur untuk mengambil segelas air.
Hariz tersentak. Dia memandang Datin
Sofea yang berada di anak tangga seketika. Kemudian dia mengeluh kecil.
“Iz nak habiskan minuman ni dulu, nanti
Iz naik la.”
“Ya la, tapi cepat sikit. Kesian Ila,
dah lewat malam ni.” Pesan mamanya lagi.
‘Siapa suruh dia tunggu aku? Aku tak
suruhpun, menyampah betul la!’ Bentak Hariz dalam hati.
“Ya la ma... Iz naik atas dulu.” Ujar
Hariz lalu meletak gelasnya di atas meja. Hariz menyalami tangan mamanya
sebelum beredar meninggalkan ruang itu. Dia pasti, lagi lama dia di situ pasti
mamanya akan mula bersyarah. Sakit telinga mendengarnya.
“Iz, layan Ila elok-elok walaupun Iz
tak sukakan dia.” Pesan Datin Sofea tiba-tiba. Dia tahu Hariz tidak sukakan
menantu pilihannya, nak tak nak mereka sudah sah bergelar suami isteri pun.
Hariz tersenyum sinis.
“Mama tahukan Iz tak pernah sukakan
dia. Kenapa mama paksa Iz kahwin juga?” Tanya Hariz dengan perasaan yang
ditahan-tahan dari terus meletus.
“Mama cuma nak yang terbaik untuk
anak mama. Iz cubalah faham, mama dan papa dah tua, kami nak lihat kebahagian
anak kami.Itu je!”
“Maa... Iz cuma akan bahagia kalau
kahwin dengan Yani! Bukan Ila! Iz tak fahamlah, apa yang buruknya Yani? Dia tu
baik ma...”
“Cukup!” Datin Sofea hampir saja
menjerit. Dia menarik nafas menenangkan perasaan tidak gembiranya.
“Iz jangan nak cakap pasal perempuan
tu lagi, mama tak suka. Sekarang ni, Iz suka ke tak suka Iz dah kahwinpun. Mama
taknak Iz sia-siakan Ila, jaga dia, bahagiakan dia! Bukan perempuan tu!”
Hariz merengus geram. Kalau bercakap
dengan Datin Sofea memang dia takkan menang.
“Dah, mama naik dulu. Iz jangan lupa
apa yang mama cakap ni.” Selepas itu Datin Sofea terus beredar meninggalkan
Hariz. Dia tidak mahu memperpanjangkan pertelingkahan anak-beranak ini. Lagipun
apa yang dia mahukan sudahpun tertunai.
Lemah kakinya memanjat setiap anak
tangga. Dalam masa yang sama, ligat dia berfikir ucapan apa yang sesuai
dikatakan kepada isterinya nanti. Sudah la ini malam pertama mereka! Dia
bingung sendiri sambil menggaru kepalanya yan tidak gatal. Ketika dia melangkah
masuk ke dalam bilik, telinganya menangkap suara merdu Ila sedang mengalunkan
ayat suci al-quran. Hariz terpegun seketika sebelum disedarkan dengan teguran
gadis itu.
“Saya nak cakap sikit dengan awak.” Ujar
Hariz terus mengambil tempat di kerusi yang diperbuat daripada rotan. Ila
berdiri beberapa kaki jauh di hadapannya.
“Awak ingatkan, apa yang kita
bincang minggu lepas?” Tutur Hariz memulakan perbualan mereka malam itu. Dia
mengingatkan gadis itu tentang perjumpaan mereka seminggu sebelum pernikahan
mereka hari ini.
Ila tersentak. Kemudian dia
mengangguk lemah kepalanya.Wajahnya dirundung rasa kecewa, sedih dan sakit hati
pada Hariz. Perlahan-lahan dia turut melabuhkan punggung di atas kerusi
bertentangan dengan suaminya. Dia menundukkan kepala. Dia masih ingat bila kali
pertama keluar berduan bersama Hariz. Waktu itu Hariz mengajaknya untuk bertemu
sekali gus makan tengah hari bersama. Ketika pertemuan itu, lelaki itu ada
menyuarakan keengganannya tentang pernikahan mereka, dan begitu juga dengannya.
Tapi apakan daya, orang tua mereka berkeras mahu teruskan perjodohan ini. Nak
tak nak mereka terpaksa juga bersetuju.
“Saya sayangkan Yani, awak tahukan
dah berapa lama kami bersama? Saya harap awak tak bagi tahu dia pasal ni. Saya
taknak kehilangan dia.” Hariz cuba berlembut, tidak seperti awal-awal tadi yang
baran tak tentu pasal.
Ila menarik nafas panjang lalu
menghembusnya perlahan-lahan. Sebak di dada mulai terasa. Dia ingin menangis
tapi ditahannya. Dia tidak pernah lupa dengan pesan Hariz. Hati Haryani harus
dijaga, dan perkahwinan ini juga harus dirahsiakan.
“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan.
Pasal Yani awak tak perlu risaulah. Saya akan rahsiakan. Tapi… Cuma satu je yang saya nak tahu, macam mana dengan
perkahwinan kita nanti?” Ucapnya satu-satu dengan perasaan sebak. Dia ingin
tahu masa depannya bersama Hariz. Dia tidak mahu digantung tidak bertali oleh
Hariz, andai jodoh mereka pendek dia harap Hariz melepaskannya dengan cara
baik.
Sejujurnya dia sedih dan kecewa. Kecewa
pada Hariz dan keluarga yang tidak memberinya peluang untuk membuat pilihan
dalam memilih teman hidup. Pada Hariz dia kecewa kerana lelaki itu masih cintakan
wanita lain sedangkan dia sudah menjadi isterinya. Selain itu dia lebih berhak
dari Haryani walaupun gadis itu rakan baiknya sendiri. Seharusnya Hariz harus
memandangnya bukan perempuan lain! Apa kurangnya dia? Dia bertanya sendiri.
Hariz bingung mendengar soalan itu. Bagaimana
hubungannya dengan Ila nanti? Gadis itu terlalu baik untuk diabaikan. Lagi
pula, Ila sudah pun menjadi isterinya dan sudah kewajipannya untuk melaksanakan
tangungjawabnya sebagai suami. Dia boleh berikan apa saja yang diinginkan Ila,
tapi tanggungjawab yang satu itu dan perasaan cintanya tidak mungkin diserahkan
kepada isterinya. Kerana dia sudah berjanji untuk tidak mengkhianatinya
cintanya bersama Haryani.
“Hal tu biarlah nanti saya fikirkan.
Tapi apa yang penting sekarang ni, kita just kena buat-buat gembira
depan parents kita. Kalau boleh saya
taknak lah diorang fikir yang bukan-bukan pasal kita.” Ujar Hariz akhirnya.
“Tapi awak akan ceraikan saya bila
Yani tahu pasal kita?” Terpacul juga soalan itu dari bibirnya. Memang hal itu
yang sedang berlegar-legar dalam fikirannya ketika ini.
Hariz mengeluh. Lama dia mendiamkan
diri sebelum menjawabnya.
“Awak tak payah cakap pasal tu lagi,
buat masa ni saya belum fikirkan pasal tu.” Ujarnya perlahan.
“Tapi saya perlukan kepastian. Saya
taknak digantung tak bertali!”
“Ila, kita baru je kahwin. Biarlah orang tua kita gembira dulu, hal cerai jangan
disebut dulu. Biarlah masa yang menentukan hubungan kita ni.” Jawapannya hanya untuk
menenangkan hati masing-masing walaupun hakikatnya mereka sendiri tahu.
Ila sudah tidak mendengarnya. Matanya
bergenang dengan air mata yang bila-bila masa saja boleh mengalir. Dia masih
menunduk, tidak mahu menunjukkan wajah sedihnya pada Hariz. Dia harus kuat bila
berhadapan lelaki ini. Dia bukan lemah, dia tidak mahu dipersendakan oleh
lelaki itu. Sedihnya hati bila menjadi isteri tetapi terpaksa merahsiakannya, walau
sesakit manapun dia harus cekal dan tabah.
Hariz tidak terkata apa lagi, lidahnya
kelu untuk bersuara lagi. Dia tiada niat untuk mensia-siakan Ila sebagai
isterinya, bahkan tidak terlintas langsung difikirannya untuk menceraikannya. Ila
adalah isteri pilihan keluarganya, manakala Haryani adalah pilihan hatinya.
Jika suatu hari nanti rahsianya terbongkar, dia tetap dengan pendiriannya untuk
memperisterikan Haryani!
HARYANI termenung memandang langit yang gelap tanpa bulan dan
bintang. Angin malam menyapa tubuhnya. Dia memeluk tubuh menahan sejuk yang
mula mencengkam diri. Dia masih berdiri di situ, walaupun dirinya minta
berundur.
Azie sudah lama dibuai
mimpi indah. Cuma dia sahaja yang masih berjaga. Tangannya memegang erat
telefon bimbitnya. Dilihatnya banyak panggilan dan pesanan yang diterima
daripada Hariz. Dia sakit hati setiap kali membaca ucapan rindu dan kasih
lelaki itu kepadanya. Rindu dan kasih yang dusta semata-mata untuk mengaburinya.
Buat apa mencarinya lagi jika lelaki itu sudah ada yang lain. Terasa dirinya
bodoh kerana mempercayai lelaki seperti Hariz. Sedangkan Hariz sedang
bergembira bersama Ila. Dia memegang dadanya. Rasa sakit tiba-tiba menyerang.
Malam ini adalah malam pertama Hariz dan Ila. Tak dapat dia bayangkan bagaimana
perasaannya ketika ini. Sakit! Hancur!
‘Kenapa susah sangat saya
nak luapakan awak, Iz? Sedangkan awak dah hancurkan hati dan harapan saya.’
bila nak sambung lagi
BalasPadam