Halaman

Followers

Selasa, 10 April 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 5

Note: Re-edit version

BAB LIMA

PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Ipoh cuma mengambil masa sekitar dua jam setengah. Haryani mengambil keputusan untuk menyusul Hariz dan Ila ke Ipoh, setelah menerima panggilan dari Ila tadi. Akhirnya mereka sampai setelah memandu tanpa rehat, perjalananannya hari ini ditemani oleh Azie. Dia rasa bersalah kerana telah menganggu rehat temannya dihujung minggu, tapi dia tiada siapa-siapa untuk mengadu selain kepada Azie, nasib baiklah sahabatnya sudi menemaninya.

            Kerana tidak tahu ke mana harus dituju, akhirnya Haryani mengambil keputusan untuk pergi ke rumah orang tua Ila di Kampung Baru. Bertahun-tahun mengenali Sara dan Ila, dia sudah cukup kenal dengan jalan ke rumah mereka. Walaupun terletak di sebuah kampung, rumah-rumah di sini dibina atas tanah lot, dan rumah-rumah disini dibina layaknya banglo seperti di kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur. Oleh itu, setiap lorong dan jalan yang menghubung setiap persimpangan diturap dengan tanah dan tar.

            Haryani memakir keretanya tidak jauh dari rumah Ila. Dari jauh dia sudah nampak khemah-khemah yang terpacak diperkarangan banglo dua tingkat itu dan ramai orang datang berkunjung dan pergi. Seperti ada kenduri kahwin saja. Tiba-tiba hatinya berdegup kencang, tidak senang duduk dia ketika ini.

            “Macam mana? Sara ada reply messsage atau call kau tak?” Tanya Haryani semakin tidak sabar.

            “Takdak wei, dua-dua orang tu langsung tak angkat call aku. Macam mana sekarang?”

            Azie yang mengetahui tujuan mereka ini juga dilanda gelisah dan tidak sedap hati. Apatah lagi melihat keadaan di rumah Ila yang seperti sedang melangsungkan majlis perkahiwnan saja. Janganlah terjadi seperti apa yang diceritakan Haryani. Tak terbayang akan perasaan Haryani yang akan hancur ditipu si kekasih hati dan sahabat baiknya sendiri. Dua pengkhianatan dalam satu masa dan tidak boleh diterima.

            “Kau betulkah nak pergi ke sana sekarang? Aku takutlah.” Luah Azie jujur.

            Haryani punya hal, dia pula yang takut. Haryani juga berperasaan yang sama seperti Azie. Dia juga takut andai betul kenyataan yang di sampaikan Ila pagi tadi. Tidak tahulah bagaimana dia akan menghadapi kenyataan itu nanti. Tapi selagi dia tidak mendapat kebenaran, selagi itulah hatinya tidak puas. Biarpun dia harus terluka selepas ini.

            ‘Harap-harap ini semua hanyalah mimpi atau gurauan. Janganlah majlis yang sedang berlangsung sekarang, majlis Hariz dan Ila.’ Hatinya bermonolog.

            Mereka berdua berjalan menghampiri rumah itu, masing-masing berdebar-debar ingin tahu. Puan Khadijah dan Encik Ibrahim sedang berada dibarisan hadapan, menyambut tetamu yang datang silih berganti. Jelas terpancar kebahagian diwajah orang tua Ila ketika ini. Haryani dan Azie segera menghampiri mereka dan bersalaman sebagai tanda menghormati tuan rumah rumah.

            Puan Khadijah yang mengenali sahabat-sahabat anaknya segera menegur.

            “Laa, kenapa Yani dan Azie baru datang? Ni pengantin dah nak kena gerak untuk outdoor.”

            “Maaflah mak cik, tadi ada kerja sikit. Masa bertolak dari KL pun dah lambat.”

            Haryani beralasan, sedangkan dia sendiri tidak tahu majlis siapa yang sedang berlangsung. Dia hanya mengikuti rentak perbualan Puan Khadijah, seolah-olah mereka sudah mengetahui apa yang berlaku. Rasa bersalah pula bila main terjah saja majlis orang.

            “Ila mana mak cik?” Tanya Azie pula.

            “Haa, dekat sana tu, tengah perkenalkan suami dia dekat kawan-kawan. Pergilah, makanlah dulu.”  

            Haryani menggigit bibir. Dia dan Azie saling berpandangan, seolah-olah mengesahkan apa yang difikirkan mereka. Luruh jantungnya sebaik perkataan suami lepas dari bibir Puan Khadijah.

            Walaupun mereka berdiri jauh dari pasangan pengantin itu, Haryani boleh mengesahkan yang suami yang dimaksudkan Puan Khadijah ialah Hariz, lelaki yang baru melamarnya semalam. Hancur perasaannya bila dikhianati orang yang dipercayainya selama ini.

            Air matanya tidak dapat dibendung lagi, dia hanya mampu menangis tanpa suara melihat pasangan pengantin yang saling tersenyum lebar dan berpeganggan tangan itu. Bibirnya digigit kuat, menghalang dari mengeluarkan esakkan yang memalukan. Kini terjawab sudah persoalannya hari ini.

            Azie turut terpana memandang Hariz dan Ila. Seolah-olah tidak percaya apa yang sedang dilihatnya sekarang. Mereka tersenyum bahagia seolah-olah tidak melakukan kesalahan. Hatinya meradang melihat pengkhianatan ini, jelas dia tidak boleh terima. Mana Haryani hendak letak mukanya nanti? Bercinta dengan orang lain, menikah dengan orang lain. Sudahlah hati Haryani disakiti, maruahnya pula dipijak-pijak tanpa belas.

            Haryani segera melarikan diri, dia ingin pergi dari sini dan melupakan semua rasa pedih di hati ini. Dia tidak berdaya berhadapan dengan Hariz dan Ila sekarang, apatah lagi perkahwinan mereka ini pasti mendapat restu daripada Datin Sofea dan Dato Bahar. Dia juga perasankan wajah bahagia orang tua Hariz di situ. Daripada membuat kecoh, baik dia pergi saja. Silap haribulan dia juga yang malu nanti.

            “Yani!” Panggil Sara kuat, dia terkocoh-kocoh mengejar mereka.

            Haryani berhenti seketika, berpaling memandang Sara yang kelihatan terkejut dengan kehadiran Azie dan dia di sini. Cukup mereka bertentang mata dan tanpa bicara, Sara sudah tahu yang mereka sudah melihat segalanya. Haryani segera pergi. Menghidupkan enjin kereta dan pergi meninggalkan tempat yang melukakan ini.

 

“TIDAK!”

            Hariz terjaga dari lenanya. Dadanya berombak ganas, dia tercungap-cungap seolah-olah baru lepas lari seratus meter. Peluh jantan kelihatan di wajahnya. Matanya pula meliar memerhati segenap ruang itu. Dia mengeluh nafas lega, mimpi rupanya.

            Sejak pernikahannya berlangsung dua hari yang lalu, dia kerap mimpikan hal-hal yang tidak membahgiakan. Dia kerap kali mimpikan Haryani yang tidak lagi mengendahkannya, dan pergi meninggalkannya selepas mengetahui hal yang sebenar. Di dalam mimpi itu, dia cuba memujuk dan memohon, tapi gadis itu langsung tidak mengendahkannya, Haryani tetap melangkah pergi tanpa menoleh kembali.

            Dia segera mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja di samping sofa tempat dia berehat. Ingin memeriksa andai ada pesanan ataupun panggilan daripada kekasihnya itu. Sekali lagi dia hampa, telefon bimbitnya bersih daripada notifikasi ataupun panggilan telefon.

            Sejak dua hari yang lalu dia tidak lagi mendapat khabar dari Haryani, seolah-olah kekasihnya hilang ditelan bumi. Dia ada juga cuba menghubungi dan menghantar pesanan, tapi tidak pernah berbalas dan berjawab. Dia tidak sedap hati, Haryani tidak pernah menghilangkan dirinya. Apa-apa berita pasti akan dimaklumkan kepadanya.

            Dia ingin bangun dan menuju ke bilik air. Tapi dikejutkan dengan sesusuk tubuh yang sedang memerhatinya dengan pandangan hairan.

            “Awak tak apa-apa ke Iz?” Soal Ila prihatin. Dia yang sedang membaca novel sebentar tadi, turut terkejut dengan pekikak Hariz yang tiba-tiba.

            “Hmm, takdak apalah. Saya nak solat dulu, mama dan papa ke mana? Dari pagi tadi saya tak nampak.” Hariz baru teringat dia belum menunaikan solat zohor lagi. Lama dia tertidur tadi, sampai tak sedar zohor sudah masuk.

            “Abah bawa pergi kebun, petang baru balik kut. Awak nak makan tak? Saya boleh siapkan dekat bawah.”

            Ila prihatin, walaupun perkahiwnan mereka tanpa cinta, itu tidak bermakna dia tidak endahkan Hariz. Apatah lagi di rumah oarang tuanya sekarang, apa pula kata orang tua mereka.

            Hariz tidak segera menjawab.

            “Ila, Yani ada call atau message awak tak? Saya cuba call dia, tapi tak berjawab.”

            Ila sedikit tersentak dengan pertanyaan tiba-tiba Hariz. Dia cuba berlagak selamba, seolah-olah tidak mengetahui apa-apa. Dia tidak mahu Hariz mengesyaki apa-apa padanya.

            “Takdak, kenapa?”

            “Hmm, pelik. Dah dua hari dia tak balas message atau call saya.” Luah Hariz gusar. Di hadapan Ila dia bebas bertanyakan soal Haryani. Hubungannya dengan Haryani bukan rahsia kepada Ila.

            “Awak cuba call Azie, kut-kut dia tahu.”

            “Sama saja, dua-dua tak jawab. Dia orang macam sengaja nak mengelak dari saya.”

            ‘Azie pun?! Jangan-jangan dia pun dah tahu,’ Ila bermonolog. Tak tertelan air liurnya ketika ini. Dia boleh bayangkan wajah tidak puas hati Azie. Temannya yang seorang ini pula jenis kepala angin, kalau dia marah, kecut perutnya.

            Selepas solat dan makan tengah hari, Hariz dan Ila sengaja mengambil tempat dibuaian di bawah pokok rambutan di hadapan rumah. Sebelum menikah, hubungan mereka tidak sebaik sekarang, duduk semeja pun boleh bergaduh. Ajaibnya, selepas menikah boleh pula mereka duduk bersama dan berbual tanpa ada sengketa. Mungkin kerana beban yang dipikul selama ini sudah terlepas. Mereka sudah berjaya mengwujudkan mimpi orang tua mereka untuk bersatu sebagai sebuah keluarga, walaupun mereka tidak tahu selama mana hubungan ini dapat bertahan.

             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...