Followers

Ahad, 15 April 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 6


Re-edit version

BAB 6

SEKITAR dua setengah jam kemudian mereka tiba di sebuah kampung. Haryani memakir keretanya di hadapan sebuah masjid. Dia lihat suasana sekitar agak meriah dengan orang pergi dan balik dari sebuah majlis kenduri. Azie yang berada di tempat duduk penumpang sudah terlentok tidak sedarkan diri.
            ‘Nampaknya ada kenduri dekat sini,’ benaknya berbicara.
            “Azie, bangun kita dah sampai.” Gerak Haryani sambil mengoncang lembut bahu rakannya. Nyenyak sungguh Azie hingga mereka dah sampai pun dia masih belum sedar.
            Azie membuka matanya yang terasa berat. Dia menggosok-gosok matanya yang terlihat kabur. Seketika kemudian pandangannya kembali cerah seperti sedia kala. Dia menguap sambil menggeliat hingga terdengar semua bunyi tulangnya. Ikutkan mata yang masih mengantuk dia ingin menyambung tidurnya semula.
              “Hmm, dekat mana dah ni?” Soalnya dengan suara serak khas baru bangunnya. Dia melihat keadaan sekelilingnya.
            “Kita dah sampai. Jom.” Ujar Haryani sambil melepaskan tali pinggang dan mematikan enjin kereta.
            Haryani segara keluar dari kereta. Selepas mengunci kereta mereka sama-sama menuju ke rumah Ila yang tidak jauh dari situ. Azie pula masih mengantuk, matanya pula sekejap buka sekejap tutup. Jalan pun dah tak betul.
            “Kau ni jalan la elok-elok sikit, terhuyung-hayang. Bangunlah! Malu je orang tengok” Tegurnya sambil mencuit bahu Azie.
            Dia menyedari beberapa orang kampung sedang melihat ke arah mereka hanya mampu tersenyum kekok. Mereka pasti tetamu yang baru pulang dari majlis kenduri di kampung ini, kebetulan dia melihat ada bunga manggar di depan jalan utama tadi. Bunga manggar adalah tanda bagi kenduri yang diadakan disesebuah kampung.
            Semakin jauh mereka berjalan semakin ramai orang kampung yang mereka temui, tak kalah juga banyak kereta yang diparkir di bahu jalan. Pasti kenduri tadi berdekatan dengan sekitar rumah Ila dan Sara. Haryani cuma mengagak kalau teman-temannya pulang ke kampung bagi menghadiri majlis perkahwinan itu. Tapi apa yang difikirkannya tidak sama dengan apa yang sedang dilihatnya.
            Dari jauh  kelihatan berdiri beberapa buah khemah di perkarangan banglo dua tingkat milik keluarga Ila. Suasana meriah dengan kehadiran tetamu bagi meraikan majlis, tak kalah juga suara paluan kompang yang mengiringi sepasang pengantin.  Sah! Ada majlis perkahwinan di rumah itu. Tapi majlis siapa? Setahu Haryani, Ila ialah anak tunggal, tak mungkin orang lain yang kahwin.
            “Wei, kenduri sapa tu dekat rumah Ila?” Tanya Azie yang juga hairan.
            “Entah la, aku pun tak tahu. Jom tengok!”
            Mereka segera menghampiri lokasi tersebut. Semakin dekat mereka menghampiri rumah Ila, semakin jelas suasana di hadapan mereka. Tiba-tiba wajah kesayangannya muncul bersama teman baiknya. Hariz yang tampan dan lengkap berpakaian songket berwarna biru sedondon bersama Ila. Hampir luruh jantung mereka berdua ketika ini, terutama Haryani yang pasti terpukul dengan kenyataan yang sedang bermain di depan matanya. Hariz dan Ila sedang bersanding bersama! Ya Allah, apa semua ni?
            “Hariz? Ila?” Bibirnya terketar-ketar menyebut dua nama yang paling dekat dihatinya.
            Tiba-tiba kakinya lemah dan dia hampir rebah ke tanah. Tapi Azie lebih pantas menyokong tubuhnya. Tanpa diminta air matanya jatuh setitis demi setitis dan kemudian deras bagaikan hujan yang turun. Tiada kata terluah ketika ini. Semuanya sudah jelas di depan mata. Mereka telah mengkhianatinya!
            Azie tidak kalah terkejutnya. Tergamam dia tanpa mampu berbuat apa-apa.
            ‘Betul ke apa yang aku nampak ni?’ Bisik hatinya masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika ini. Dia memapah tubuh Haryani.
            “Yani.” Panggil Azie lembut. Dia menyentuh bahu sahabatnya sambil matanya tidak lepas memandang  Ila dan Hariz silih berganti. Ketika ini pasti Haryanilah yang paling terkesan. Kekasih hatinya sedang bersanding bersama teman baiknya sendiri! Satu pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan.
            “Kau... Kau nak jumpa diorang ke?” Tanya Azie tidak pasti.
            Ketika ini dia tidak tahu berbuat apa. Hatinya terlalu sakit! Sakit yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tidak mungkin dia muncul di depan Hariz dan Ila ketika ini. Itu hanya akan menjadi bahan lawak untuk orang lain ketawakannya. Jadi apa kalau dia kekasih Hariz? Kalau akhirnya lelaki itu memilih Ila sebagai isterinya! Pasti orang-orang akan fikir dia ni hanya bekas kekasih yang masih tak boleh move on.
            “Zie, aku nak balik. Sekarang jugak!” Ujarnya lalu mencapai tangan sahabatnya dan terus beredar dari situ. Tiada apa yang boleh dilakukannya ketika ini, semuanya sudah terjadi.
            “Okay. Tapi biar aku drive.”
            Haryani tidak banyak bicara, dia hanya membiarkan Azie. Hariz dan Ila langsung tidak perasankan kehadiran mereka dan majlis berjalan dengan lancar.
            Di dalam kereta hanya sunyi yang menemani pejalanan pulang mereka. Haryani hanya termenung ke arah luar dengan air mata yang belum kering. Sesekali terdengar bibirnya beristighfar menenangkan jiwa yang sedang kecamuk.
            Dia tidak tahu bila dan bagaimana  hubungan Hariz dan Ila bermula. Tapi apa yang dirasakan ketika ini ialah dialah manusia yang paling bodoh kerana tidak perasankan semua itu! Haryani terpukul dengan penipuan ini! Terutamanya Hariz, apa guna dirinya dilamar jika hanya untuk disakiti dengan pengkhianatan ini. Dia merenung lama cincin yang tersemat di jari manisnya, tiada makna lagi cincin ini. Semua angan-angannya musnah sekelip mata sahaja. Haryani pantas menanggalkannya dan lempar ke dalam beg tangannya.
            “Jantan tak guna!” Jerit Haryani geram.
            Azie yang terkejut dan segera menoleh ke arah Haryani.
            “Sabar Yani. Aku tahu kau sedih, tapi apa kata kau cuba berbincang dengan Hariz dan Ila dulu. Mungkin diorang ada sebab kenapa diorang buat semua ni.” Bukan niatnya hendak membela Hariz dan Ila, tapi dia harus tenangkan Haryani terlebih dahulu sehingga mereka sampai ke rumah nanti.
            “Sebab apa?! Aku tak peduli, yang aku tahu diorang tu pengkhianat! Penipu! Aku benci diorang!”
            Azie terus terdiam selepas itu, dia sendiri tidak tahu untuk mengatakan apa. Jika dia berada di tempat Haryani dia juga akan sedih dan rasa tertipu.
            ‘Awak tipu saya Iz, saya takkan maafkan awak sampai bila-bila!’

“TIDAK!”
            Sepantas kilat Hariz bangun dari tidurnya. Dadanya berombak ganas, dia tercungap-cungap seolah baru lepas lari seratus meter. Peluh jantan mula kelihatan di dahi dan tengkuknya. Matanya pula meliar memerhati segenap ruang itu. Dia mengeluh nafas lega, mimpi rupanya. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi kelihatan nyata dan menakutkannya. Dia tidak ingin hal itu terjadi dan dia tidak akan membiarkan hal itu terjadi walau apa pun yang berlaku. Di dalam mimpinya dia melihat Haryani sedang menangis sambil menzahirkan kekesalannya atas penipuannya pergi meninggalkannya. Dia ingin mengejar tapi langkah kakinya terasa berat seperti ada magnet yang menarik. Akhirnya dia tersedar sendiri.
            “Astaghfirullah…” Dia beristighfar beberapa kali sambil meraup wajahnya. Dia ingin bangun dan menuju ke bilik air. Tapi dikejutkan dengan sesusuk tubuh yang sedang memandangnya.
            “Awak tak apa-apa ke?” Soal Ila prihatin. Dia yang sedang menonton televisyen tadi terkejut bila mendengar Hariz menjerit.
            Hariz tidak segera menjawab.
            “Sejak bila kau dekat sini?” Tanya Hariz balik. Dia lupa agaknya yang dia sebenarnya berada dalam bilik Ila.
            “Eh, tanya saya pula. Dah ni bilik saya, suka hatilah nak duduk bila-bila pun dalam bilik ni.” Jawab Ila dengan perasaan jengkel. Sikap sinis Hariz masih belum juga hilang walaupun mereka sudah bergelar suami isteri dan berkongsi bilik yang sama.
            Hariz mendengus lantas bangun dan mencapai tuala lalu masuk ke dalam bilik air. Dia tiada masa hendak bertekak dengan Ila memandangkan waktu maghrib sudahpun hampir berlalu.
            Ila duduk di birai katil sambil mengunyah kerepek pisang kegemarannya. Dia sudah berfikir masak-masak tentang perkahwninan ini, dia akan cuba pertahankan perkahwinan ini walaupun dia tahu Hariz tidak mencintainya dan akan menceraikannya satu hari nanti demi bersama Haryani.
            Hariz menggeleng kepala. Walaupun sudah menjadi suami kepada wanita ini, dia masih kekok. Mereka jarang berinteraksi, kalau berjumpa pun dia hanya berbual dengan Haryani. Teringatkan Haryani, baru sehari tidak berjumpa dengan kekasihnya rasa rindu sudah menebal di hati.
            Selepas itu Ila terus beredar meninggalkan kamar pengantinnya menuju ke tingkat bawah rumah. Mungkin ada ibu dan mama, boleh la juga mereka berbual. Takdak la dia bosan. Harapkan suaminya? Memang taklah, nak pandang muka dia pun tak nak.

DI RUANG tamu, kelihatan Datin Sofea dan Puan Khadijah sedang rancak berbual. Sesekali diselangi dengan ketawa. Entah apalah yang dibualkan. Di atas meja kopi sederhana kecil yang terletak di tengah-tengah ruang tamu tersebut terdapat sepinggan kek pisang dan seteko kopi. Datin Sofea mencapai sepotong kek pisang tersebut untuk mencubanya.
            “Hmm, sedapnya. Siapa yang buat ni?” Tanya Datin Sofea.
             Puan Khadijah senyum. Senang hatinya bila kek yang di bawa pulang oleh Ila dipuji besannya. Dia sangka Ila yang membuatnya, pantas dia menjawabnya.
            “Menantu Datinlah...” Ujar Puan Khadijah lalu mengambil sepotong kek pisang tersebut untuk mencubanya. Memang dia akui kek tersebut memang sedap dan lembut.
              “Ish, kamu ni Dijah. Tak payah la berdatin dengan saya. Panggil je Sofea.”
            Puan Khadijah hanya tersenyum malu. Dia seronok sebenarnya kerana dapat berbesankan Datin dan Dato . Bukan calang-calang orang dan tak semua dapat peluang begini, dia bertuah kerana Datin Sofea dan Dato Bahar ingin bermenantukan Ila, anak tunggalnya.
            Datin Sofea malu. Pangkat yang digunakan bukannya boleh dibawa mati. Lagipun dia lebih senang jika orang memanggilnya Sofea saja, dia dan Puan Khadijah bukan sesiapa lagi, mereka kan besan.
            “Mama, ibu.” Tegur Ila sopan, dia kemudian mengambil tempat di sebelah ibunya, Puan Khadijah.
            “Hariz mana?” Tanya Datin Sofea sambil matanya merenung lembut wajah menantu tunggalnya.
            “Hariz mandi, sekejap lagi turun la tu.”Jawab Ila tenang walaupun hatinya berdebar-debar bila nama Hariz disebut.
            “Kenapa tak tunggu je? Lepas tu turun la sekali.” Sampuk Puan Khadijah pula.
            “Er... Hariz nak solat dulu, sebab tu dia suruh Ila turun dulu.” Ila gugup.
            Tak kuasa dia menunggu Hariz. Sebenarnya dia bosan dengan sikap suaminya yang macam tunggul di depannya. Dia dan Hariz hanya bermesra bila berdepan dengan kedua orang tua mereka. Sakit hatinya bila mengingat perbuatan itu. Bila teringatkan aksi sepontan Hariz sewaktu mereka sedang berbual dengan Datin Sofea tadi, dia termalu sendiri. Dia akui, waktu itu betapa gementarnya dia bila diperlakukan sedemikian. Dia belum pernah diperlakukan seperti itu oleh mana-mana lelaki. Hariz yang pertama. Tapi tiba-tiba hatinya merasa bersalah. Bersalah kepada Haryani kerana telah merahsiakan hal ini. Kadang-kadang dia terasa seperti perampas.
            ‘Salah aku ke semua ini terjadi? Aku isterinya, dia suami aku. Tapi sanggupkah dia terima aku sebagai isterinya? Bolehkah dia menjadi suami yang baik kepadaku? Bolehkah  dia melupakan Yani? Tidak! Cinta pertama memang sukar untuk dilupakan, mana mungkin dia dapat lupakan Haryani.’
            Tanpa dia sedar satu keluhan lahir di bibirnya.
            “Tak apalah Jah, betul cakap Ila. Hariz tu kalau dah masuk bilik mandi memang lama, mengalahkan perempuan! Betul tak?”
            Ila tersentak dari lamunannya. Dia pantas memandang Datin Sofea dan ibunya sambil tersengih, mengiakan saja.
            “Hai... Mengeluh tiba-tiba ni kenapa?” Soal Puan Khadijah yang mendengar keluhan anaknya.
            Sejak dari mula lagi, dia sudah terkesan dengan sikap anaknya itu. Banyak termenung dan mengeluh. Tidak gembirakah dia dengan perkahwinan ini?
            “Takdak apa la ibu. Teringatkan kawan dekat KL je.” Jawab Ila jujur.
            Puan Khadijah baru teringatkan kawan-kawan anaknya di Kuala Lumpur. Sehari suntuk dia melayan tetamu namun kelibat Haryani dan Azie tak juga kelihatan di majlis perkahwinan ini.
            “Ibu tak nampak pula Yani dan Azie tadi. Kenapa diorang tak datang? Kamu jemput tak?”
            “Err... Panggil bu, tapi diorang tak dapat datang. Tak dapat cuti.” Bohong Ila, sedangkan hakikatnya kad jemputan pun tidak berikan. Cari nahas saja kalau dijemputnya diorang datang.
            “Pandai Ila buat kek....” Puji Datin Sofea tiba-tiba.
            “Hah? Kek? Kek apa?” Soal Ila hairan. Dia termangu-mangu bila suara ibu mentuanya menyebut pasal kek.
            ‘Bila masa pulak aku buat kek?’
            “Kek pisang ni.”
             Matanya terarah pada pinggan yang terisi dengan kek pisang kegemarannya. Barulah dia faham apa yang dikatakan Datin Sofea. Sebenarnya kek itu dibuat Haryani, sebelum dia pulang ke kampung Haryani sempat bungkuskan untuknya kerana dia tahu kek pisang adalah kegemarannya. Kalau Datin Sofea tahu sebenarnya bakal menantu tak jadinya yang buat pasti dia terkejut.
             “Oh, kek ni. Sebenarnya kawan Ila yang buat, dia kirim dari KL.”          
            Merah padam muka Puan Khadijah. Malu! Mana tidaknya, katanya lain pada Datin Sofea, anaknya kata lain pula. Hatinya sedikit kecewa dan geram!
            Datin Sofea hanya diam. Hal kecil tak perlu diperbesarkan. Biarlah dapat menantu tak tahu masakpun, asalkan dia dapat memberikan kebahagian kepada Hariz dan keluarganya.

DATO BAHAR dan Encik Masri melangkah masuk beriringan ke dalam rumah. Bibir masing-masing mengukir senyuman. Mereka kini dapat tersenyum gembira kerana anak-anak mereka sudah berjaya disatukan. Walaupun pada awalnya mendapat tentangan, tapi sekarang tiada apa lagi yang perlu dirisaukan.
            Encik Masri dan Dato Bahar adalah rakan baik yang dulu sama-sama berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dan kini masing-masing sudah bersara. Tapi Dato Bahar telah memulakan perniagaanya sendiri dengan menggunakan duit pencen yang diterimanya, tidak sangka perniagaanya kini berkembang maju. Dan kini dia adalah salah seorang ahli perniagaan yang berjaya di Malaysia. Manakala Encik Masri mengusahakan tanah menjadi kebun buah-buahan, selain itu dia juga mempunyai ladang ternakan kambing.
            “Hah, bang. Apa yang dibincangkan dengan Bahar? Happy je.” Tanya Datin Sofea pada suaminya.
            Datuk Bahar melabuhkan punggungnya di sebelah isterinya.
             “Takdak apa-apa. Kita cuma cakap pasal anak-anak je.”
            “Ya la, tu. Abang bukan boleh percaya sangat, kut-kut sibuk merancang nak kahwin lain.” Ujaran Datin Sofea mengundang tawa semua orang. Muncungnya sedepa. Sejak ada duit ‘banyak’ ni, banyak juga yang cuba menghimpit suaminya. Manala dia tak risau.
            “Ish, ke situ pula dia. Dah 20 tahun lebih kita kahwin, Iz pun dah besar. Takkan tak percaya dekat abang lagi kut?”
            Tiba-tiba perbualan mereka terhenti seketika dengan kehadiran Hariz. Dia mengenakan t-shirt berwarna putih dan seluar tracksuit berwarna hitam. Dia kelihatan lebih tenang dan tampan.
            “Rancak bual? Ada apa-apa ke yang Iz tak tahu?” Ujar Hariz lalu melabuhkan punggung di sebelah bapa mentuanya. Bertentang dengan Ila.
            Matanya tajam merenung Ila. Anak mata mereka bertembung, Ila gelabah, Hariz selamba. Ila menundukkan kepalanya memandang kaki yang masih berinai merah. Tidak tahan dengan renungan Hariz, Ila terus bangun.
            “Er... Ila pergi dapur dulu. Buat air.” Dia memberi alasan.
            Dia terus melangkah pergi meninggalkan kumpulan manusia tersebut. Dia menghela nafas lega. Lapang sedikit dadanya, kalau tidak semput nafasnya berada di situ. Rimas! Tapi kenapa setiap kali Hariz merenungnya dia akan gelabah dan hatinya berdetak kencang? Dia dah mula sukakan Hariz ke? Tidak! Mana mungkin dia jatuh cinta pada Hariz, walaupun dirinya berhak merasa sebegitu kerana dia adalah isteri lelaki itu.
            Dia menatang dulang yang berisi enam buah cawan nescafe panas. Setiap cawan tersebut dihulurkan kepada semua orang yang berada di situ, tidak terkecuali dirinya.
            “Bilalah agaknya mama boleh dapat cucu ya?” Soal Datin Sofea tiba-tiba. Terluah juga akhirnya apa yang terbuku dalam hatinya. Bibirnya mengukir senyuman pada pasangan pengantin baru tersebut. Sememangnya dia amat berharap mereka segera dikurniakan zuriat.
            Hariz tersedak-sedak mendengarnya. Tak tertelan air liurnya ketika ini. Cawan yang yang berada di tangan diletakkan di atas meja. Mereka saling berpandangan. Hariz menjungkitkan bahunya. Ila menjegilkan matanya, geram dengan Hariz. Ada ke patut Hariz buat-buat tidak tahu.
            “InsyaAllah kalau ada rezeki.” Jawab Ila malu-malu.
            Meletus ketawa orang tua mereka. Mukanya merah menahan malu .Malu pada Hariz. Tapi dia melihat suaminya selamba saja.
            ‘Huh, macam mana nak dapat anak, kalau diapun perangai macam ni? Aku tahu, rahimku ini tidak akan pernah mengandungkan anaknya. Kerana aku tahu, Hariz seorang yang setia pada cintanya. Dia tidak akan sesekali menyentuhku.’ Katanya dalam hati, membuatkan dirinya sayu dengan nasibnya sendiri.
            “Macam mana nak dapat anak kalau belum buat apa-apa.” Jawab Dato Bahar pulak dengan sisa tawanya yang masih ada. Akhirnya mereka ketawa bersama-sama, geli hati dengan tingkah bapa mentuanya. Ila malu.
            Hariz bosan bila mereka asyik mengenakannya dengan Ila. Akhirnya dia meminta diri untuk ke luar rumah. Lebih nyaman rasanya, di dalam dia dapat rasakan bahang yang sedang menghangatkan hatinya. Mana mungkin dia berfikiran seperti mereka untuk hidup bahagia bersama Ila. Dia tidak cintakan Ila, cuma Haryani di dalam hatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...