Sabtu, 15 Oktober 2011

Senyuman bernanah

KUALA LUMPUR: Dosanya amat kecil - melemparkan senyuman ke arah sekumpulan gadis, namun hukuman diterima seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun terlalu berat apabila dia dibelasah sehingga bengkak bibir dan bernanah telinga.

Dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Jelatek di sini, pada jam 5.30 petang 7 Oktober lalu, mangsa yang berada di rumah neneknya dihubungi seorang rakan yang mengajaknya bertemu di tingkat 16 pangsapuri berkenaan.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memenuhi pelawaan rakan berkenaan dan sebaik tiba di tempat dijanjikan, pelajar tingkatan tiga itu terkejut apabila mendapati 10 remaja perempuan menunggu kedatangannya.

“Tiga daripada mereka meluru ke arahnya dalam keadaan marah dan mempersoalkan tindakannya yang tersenyum ketika melihat mereka beberapa hari lalu.

“Bagaimanapun, mangsa berdiam diri. Tindakan mangsa membisu mengundang marah kumpulan remaja terbabit lalu memukulnya beberapa kali di badan,” katanya.

Bayi baru lahir disumbat dalam pam tandas

KUALA TERENGGANU: Seorang gadis bertindak nekad menyembunyikan bayi lelaki yang baru dilahirkannya dalam pam tandas di sebuah asrama pekerja di Bandar Chukai, Kemaman awal pagi ini untuk mengelakkan ia diketahui oleh rakan-rakannya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, gadis berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai buku di situ dilaporkan turut bertindak membuang uri dan tali pusat ke dalam lubang tandas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Abdullah Sani Salat berkata, bagaimanapun tangisan bayi seberat tiga kilogram itu telah didengari oleh rakan seasrama gadis berkenaan. - Bernama

Ditindih lapan peragut

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja cedera dipukul dan ditindih lapan peragut, malah turut kerugian kira-kira RM1,500 dalam kejadian ragut di Taman Pertama Cheras, di sini, kelmarin.

Ketika kejadian jam 6 petang itu, mangsa berjalan ke tempat letak kereta selepas membeli barangan di pasar malam berhampiran sebelum didatangi lapan lelaki menunggang empat motosikal. Semua mereka dianggarkan berusia 20-an.


Mangsa, Ng Lee Hong, 53, berkata dia dihampiri dua lelaki bermotosikal yang cuba meragut beg tangannya, namun tidak berjaya.

Katanya, pergelutan di antara mereka menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum didatangi enam lagi lelaki yang menaiki tiga motosikal dan dua daripada mereka cuba menarik beg tangannya.


“Saya melawan, tetapi ditumbuk dua lelaki itu hingga tidak berdaya. Mereka kemudian bertindak kejam apabila menindih badan saya bagi mengelak saya bangun.


“Selain itu, mereka memukul badan saya dan menarik beg tangan yang mengandungi wang tunai dan barangan berharga lain termasuk subang emas,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia menjerit meminta tolong, namun tiada yang membantu.


Akibat kejadian itu, dia cedera di badan dan kedua-dua tangan.

Katanya, selepas kejadian, dia mendapatkan kereta sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras.