Ahad, 1 April 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 3

Note: Re-edit version

BAB TIGA

MAJLIS berinai sedang berlangsung dengan meriah di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu. Ila yang menjadi bintang utama hari ini berada ditengah-tengah saudara-maranya yang sedang riuh berbual. Sara juga tidak melepaskan peluang ini meminta pelukis inai dengan corak-corak yang ringkas dan tidak terlalu mencolok. Selepas selesai, dia segera menghampiri Ila dan duduk di sampingnya.

            “Tengok ni, cantik tak tangan aku sekarang?” Tanya Sara juga teruja dengan majlis berinai hari ini.

            “Hmm, okay je.” Jawab Ila tanpa minat.

            Suasana yang meriah dan suara hiruk-pikuk manusia tidak langsung menarik perhatiaanya. Fikirannya melayang jauh memikirkan nasihat yang diberikan Sara semalam. Andai dia mahu meneruskan perkahwinan ini dengan Hariz, dia juga perlu lakukaan sesuatu. Dia juga sedang memikirkan cara bagaimana hendak memberitahu Haryani tanpa dia dipersalahkan nanti.

            “Hei, kau ni memang takdak perasaanlah. Semua orang dekat sini sedang gembira, yang kau pula asyik membuang muka saja.” Tegur Sara tidak puas hati.

Bukan dia tidak perasankan orang-orang disekeliling yang sudah berbisik-bisik gosipkan Ila. Macam kena paksa kahwin saja! Walaupun itulah hakikat sebenarnya.

“Habis tu kau nak aku sengih dua puluh empat jam? Macam orang gila? Aku taknak jadi hipokritlah Sara. Kalau aku dah tak suka, nak buat macam mana lagi?” Getus Ila geram.

“Ish, susahlah cakap dengan kau ni. Baik aku keluar je.”

“Haa, pergilah. Aku pun tak minta kau datang sini!” Jawab Ila tidak mahu kalah.

Sara menggelengkan kepala melihat tingkah Ila yang tidak matang. Orangnya keras kepala, dan langsng tidak mahu mendengar nasihat orang. Baginya Ila terlalu pentingkan diri! Dia langsung tidak memikirkan perasaan dan air muka ibu bapanya. Tingkahnya terang-terangan menunjukkan dia benci dengan perkahwinan ini. Tidak sedarkah dia bila jiran-jiran dan sanak saudara sudah mula mengata? Lantaklah, dia pun sudah malas menasihati Ila.

 

“HAIH, malam -malam ni cantik nak pergi mana? Dinner date dengan Hariz ke?”

            “Mestilah, hari ni our 3rd anniversary tau.” Jawab Haryani teruja sambil melihat pantulan wajahnya di cermin.

Bau minyak wangi jenama Dior menusuk hidungnya. Haryani mengenakan sehelai gaun labuh berwarna merah hati dan wajahnya disolek ringkas, tetap cantik untuk Haryani yang memilikki kulit yang cerah. Rambutnya yang panjang dan ikal disanggul ringkas dan diselitkan sebuah perhiasan rambut yang berbentuk rama-rama. Malam ini dia kelihatan sungguh ayu dan menawan.

“Patutlah beria benar kau bersiap malam ni. Untung cik abang kau dapat girlfriend macam kau ni, cantik dan cukup pakejlah.”

Haryani tergelak mendengar usikkan Azie itu. Sahabat baiknya ini bukan boleh tengok kalau dia bersiap lebih sikit untuk Hariz, ada saja bahan yang dia gunakan untuk kenakannya. Akhir sekali, dia menggenakan beberapa perhiasan ringkas, dan tidak lupa juga sebuah kalung yang berlokek ‘H&H’ pemberian Hariz beberapa tahun lalu sempena hari lahirnya.

“So, macam mana? Okay tak? Ada apa-apa yang perlu aku tambah atau ubah?”

Haryani berdiri sambil memperagakan penampilannya di hadapan Azie, meminta pendapat, risau andai ada yang kurang. Memandangkan malam ini malam istimewa mereka, sebolehnya dia tidak mahu ada sedikitpun cacat cela pada dirinya.

“Ini kalau bakal suami kau tengok, mahu terkeluar biji mata dia. Lebih daripada perfect! Silap haribulan, ada juga yang tak bagi balik malam ni.” Azie masih belum puas menyakat. Suka benar dia melihat reaksi Haryani yang tidak senang duduk dengan usikkannya.

“Hei, kau jangan nak melebih-lebih ya! Sudahlah, baik aku keluar dulu, nampak Hariz macam dah sampai.” Walaupun bibirnya mengungkap kata marah kepada Azie, tapi bibir itu belum lekang dari senyuman bahagianya.

Telefon bimbitnya dari tadi berkelip-kelip minta diangkat, tanda menerima panggilan dari kekasih hati. Pasti lelaki itu ingin memaklumkan ketibaanya di hadapan rumah sewanya. Dia segera mencapai tas tangan dan ingin segera keluar.

“Kejap, aku ada benda nak pesan.” Tiba-tiba Azie memintas.

“Apa?”

“Nanti tolong bungkuskan aku sesuatu.”

“Makanan apa yang kau nak pesan, nanti aku tengokkan.”

“Bukan makanan, tapi tolong bungkuskan lamaran Hariz untuk kau bawa balik.”

Selepas itu Azie terus berdekah ketawakan Haryani, dia segera menutup pintu apabila melihat Haryani ingin membaling kasut kepadanya. Nak pecah perut dia ketawakan Haryani yang sudah mula membebel panjang.

‘Siap kau Azie balik nanti!’ Radang Haryani dalam hati.

 

ALUNAN instrumental lagu Celine Dion memenuhi segenap ruang sederhana mewah itu. Disuatu sudut kelihatan sepasang kekasih sedang menikmati makan malam mereka dengan tenang. Nampaknya Hariz memang sengaja menempah seluruh restoran ini khas untuk meraikan ulang tahun ke tiga mereka, memandangkan tiada seorang pengunjungpun disitu selain mereka dan beberapa orang staf saja.

            Haryani sangat gembira dengan rancangan yang telah diatur oleh Hariz, dia sedikit terkejut pada awalnya apabila Hariz mengambil inisiatif untuk merancang dan menyambutnya di sini. Nampaknya Hariz juga memilikki perasaan yang sama dengannya untuk meyambut hari yang sangat istimewa ini.

            Selepas makan, mereka dihidangkan pula dengan pencuci mulut yang terdiri daripada buah-buahan dan ais krim. Sambil menikmatinya mereka sekadar berbual kecil dan berbagi cerita aktiviti harian yang mereka jalanni.

            “Dah lama kita tak luangkan masa macam ni kan sayang? Selalu sekejap je kita jumpa, yalah masing-masing sibuk kerja.” Keluh Haryani. Dia menumpang dagu sambil melihat wajah kekasih hati yang sudah bersih, tidak seperti beberapa hari yang lalu.

            Sebulan dua ini, jarang sangat mereka dapat luangkan masa bersama. Kalau ya pun, terlalu sekekap. Hariz pula semakin bertambah kerjanya, hingga setiap hujung minggu ada saja meeting dan lawatan kerja luar daerah yang perlu dihadiri. Kadang-kadang terdetik juga hatinya andai Hariz mula berubah hati dan sengaja mencari alasan untuk mengelak darinya. Tapi segera dia padamkan perasangka buruk itu.

            “Sorry sayang, lepas ni Iz janji akan luangkan masa untuk kita. Lately, memang banyak sangat kerja yang kena diselesaikan.”

            ‘Maafkan Iz, sayang. Kalaulah awak tahu waktu-waktu yang dihabiskan itu untuk membuat persiapan perkahwinan saya dengan Ila.’ Hatinya bermonolog.

            “Kalau macam tu apa kata kita naik ke Genting esok?” Cadang Haryani, mengharap Hariz bersetuju dengannya. Sudah lama dia teringin untuk pergi ke pusat peranginan tanah tinggi itu. Berdasarkan pencariannya, terdapat sebuah taman tema yang menawarkan pelbagai permainan untuk orang dewasa.

            Hariz semakin rasa bersalah apabila melihat wajah Haryani yang penuh harapan itu. Sekali lagi dia harus menghampakan permintaan kekasih hatinya ini. Kerena esok ialah hari di mana dia akan melepas status bujangnya, dan menyandang status suami orang.

            “Sorry sayang, esok Iz tak boleh. Iz harus ke Ipoh, ada projek baru yang akan dilancarkan di sana.” Hariz beralasan. Tak kira apapun yang terjadi, dia tidak akan membocorkan rahsia ini selagi dia tidak menyelesaikannya bersama Ila. Itu janjinya.

            Haryani sedikit kecewa dengan jawapan Hariz. Tapi tiada apa yang boleh dilakukannya bila Hariz sudah memberi kata putus. Lagipun mereka boleh berkunjung ke sana bila-bila masa saja bila Hariz memilikki masa lapang. Haryani cuba menyedapkan hatinya sendiri.

            “Okay, lain kali sajalah kita pergi.” Jawab Haryani akhirnya. Dia cuba menutupi rasa kecewanya dengan sebuah senyuman.

            “Nanti kalau awak dah sampai Ipoh tu, jangan lupa call saya. Awak tu bila dah kerja tak ingat terus saya ni. Nasib baik ada saya yang selalu call dan ingatkan awak tu.” Sambungnya lagi, memberi peringatan.

            Bukan sekali dua Hariz mengabaikannya, tapi sejak kebelakangan ini saja. Dia juga hairan melihat kesibukkan Hariz yang seolah tiada hari cuti untuk diluangkan. Orang lain juga berbisnes, tapi takdalah sampai tiada masa menguruskan diri. Haryani teringat keaadaan Hariz beberapa hari yang lalu, jadi dia membuat keputusan untuk mempercayai kekasihnya ini.

            Hariz hanya mampu diam dan menatap wajah ayu Haryani. Rasa bersalah tak usah dicakap, hatinya beribu kali terbeban dengan penipuan yang sedang dia mainkan. Dia bukan saja-saja menikahi Ila, teman baik Haryani. Dia lakukan ini sekadar memenuhi desakkan orang tuanya. Dia juga berbohong sekarang kerana tidak mahu menyakiti hati wanita kesayangannya ini.

            Mereka sepi seketika. Haryani tersipu malu bila Hariz tidak lepas dari merenung wajahnya ini.

            “Jangan pandang saya lama-lama, tak tidur malam awak nanti.” Gurau Haryani cuba mendapatkan perhatian lelaki itu.

Dia perasan malam ini Hariz tidak banyak bicara, lelaki itu lebih suka mendengar dan merenung dirinya. Dia juga gemar menyalurkan hasrat hati dan kasih sayangnya melalui sentuhan, pelukkan dan dan berpegang tangan dengannya. Selama ini mereka tidak pernah melampaui batas, sekadar sentuhan-sentuhan kecil dan berpelukkan seperti mana lazimnya dilakukan oleh pasangan lain.

Haryani sedar apa yang dilakukan mereka sekarang adalah salah, tapi dia juga manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Kerana terlalu sayangkan Hariz, dia relakan juga, bila kadang-kadang Hariz meminta untuk memeluk tubuhnya atau mencium pipinya.

Akhirnya Hariz tersenyum juga bila mendengar gurauan Haryani.

“Saya nak tatap wajah awak puas-puas Yani, rasanya tak puas selagi awak tak tinggal serumah, dan tidur sebantal dengan saya.” Ucapnya jujur.

Selagi Haryani belum sah menjadi miliknya, selagi itu hatinya tidak tenang dan tidurnya tidak lena. Pelbagai kemungkinan mungkin akan berlaku dalam hubungan mereka ini. Kerana itulah dia ingin segera ‘mengikat’ Haryani di sisinya. Ketika itu, walaupun Haryani mengetahui perkahwinan rahsianya, dia tidak mampu menjauh walau sejengkalpun.

            Merona merah wajahnya mendengar kata-kata manis Hariz. Inilah satu kelebihan Hariz yang boleh meluluhkan hati wanitanya. Bermulut manis. Disetiap perrtemuan mereka ada saja kata-kata Hariz yang mengusik hati.

            “Jangan nak mengadalah. Kita ni kahwin pun belum, janganlah awak nak bermain api kalau tak mampu menahan diri.”

            Hariz tersenyum getir. Mampukah dia menahan diri apabila setiap lenggang-lenggok tubuh dan bibir munggil Haryani seakan-akan memanggilnya minta dibelai. Apatah lagi waktu-waktu getir seperti ini, dimana hasrat hatinya terlalu kuat untuk memilikki dan menaklukki Haryani. Dia risau andai mereka tersilap langkah, malam pertama mereka bermula sebelum waktunya.

            “Ikutkan hati, malam ni juga saya nak ajak awak nikah. Rasanya dah tak sanggup menunggu lebih lama lagi. Takut melepas pula saya nanti.”

            “Kalau begitu, cepat-cepatlah masuk meminang saya. Takdaklah awak susah hati nanti.” Ucap Haryani perlahan dan malu-malu.

            Ikutkan hati, dia mahu Hariz segera melamarnya, tapi dia juga tidak mahu dilihat seperti perigi cari timba. Yang terhegeh-hegeh meminta dirinya segera di pinang, walaupun dia dan Hariz ialah sepasang kekasih. Tapi andai Hariz belum bersedia, dia tidak boleh memaksa.

            Itulah rancangan Hariz malam ini, sebagai permulaan dia ingin melamar wanita kesayangannya ini. Mengikatnya dengan janji, dan selepas itu barulah dia akan memikirkan langkah seterusnya. Selain itu, dia juga mahu Haryani merasa aman dan yakin dengan hubungan mereka.

            Hariz segera mencapai tangan Haryani, sebuah cincin  emas putih segera disematkan ke jari manis wanita itu. Hariz puas, walaupun cuma seringkas ini dia melamar Haryani. Tanpa ayat-ayat manis dan puitis. Cuma sebentuk cincin kosong, tetapi memilikki makna yang besar baginya.

            “Ini saja yang saya mampu janjikan untuk awak sekarang ni. Cincin ini sebagai tanda saya meminang awak untuk menjadi isteri saya. Saya nak awak tahu yang saya memang serius dengan hubungan kita ni.”

            Haryani masih melopong, memandang Hariz tanpa kedipan. Adakah dia sedang bermimpi? Kejutan ini terlalu tiba-tiba, dia langsung tidak terfikir yang Hariz akan menunaikan permintaanya sesegara ini.

            “Iz, betulkah apa yang saya dengar ni? Awak tak tipu saya kan?”

            Hariz mencium lembut tangannya. Kemudian dia kembali memandang Haryani dengan senyuman yang menawan.

            “Macam mana sekarang, masih mimpikah ini?” Bisiknya dekat dengan telinga Haryani.

            Haryani bergidik geli, segera menjarakkan diri. Hembusan nafas Hariz masih terasa ditelinganya dan membakar wajahnya seperti udang bakar.

            “Macam tak percaya. Parents awak dah tahukah Iz?” Soal Hariz ingin tahu.

            Masalah utama mereka ialah orang tua Hariz, dia tahu dirinya bukanlah calon menantu pilihan Datin Sofea dan Dato Bahar. Dia risau andai Hariz membuat keputusan tanpa persetujuan orang tuanya, makin susah nanti.

            Hariz cemberut bila orang tuanya disebut di malam istimewa ini. Hatinya masih meradang dengan mereka kerana tidak mendengarkan permintaan hatinya ini. Kalau bukan kerana mereka, dah lama dia nikahi Haryani.

            “Pasal tu janganlah awak risau, tahulah nanti saya beritahu mereka.”

            “Tapi, kan tak elok...”

            “Takdak tapi-tapi,” pintas Hariz pantas. Sebolehnya dia tidak mahu membincangkan perihal restu orang tuanya malam ini. Malam ini dia khaskan untuk merai ulang tahun ke tiga mereka, dia ingin  malam ini penuh dengan kenangan manis yang tak terlupakan.

            “Berjanjilah dengan saya, yang awak akan selalu bersama saya tak kira senang mahupun susah. Dan awak takkan sesekali tinggalkan saya walau apapun yang terjadi.”

            Haryani terdiam melihat tingkah aneh Hariz yang kelihatan terdesak.

            “Berjanjilah!” Desak Hariz lagi.

            “Ya, saya janji.” Jawab Haryani akhirnya.

            Hariz tersenyum puas dan lega selepas niatnya malam ini tercapai.

            “Lepas ni, apapun yang berlaku awak tak boleh tinggalkan saya. Kalau tak...”

            “Kalau tak apa?”

            Hariz tersenyum, sengaja membiarkan kata-katanya tergantung disitu, membiarkan Haryani bertanya-tanya sendiri.

            “Kalau tak saya rogol awak.”

            “Hariz!” Ringan saja tangannya menampar bahu lelaki itu, tidak puas dia cubit pula. Geram! Baginya gurauan Hariz tidak lawak. Tak pernah terbayang difkirannya lelaki itu mampu melakukan aksi keji itu.

            “Aduh, sakit sayang. Awak tak kesiankan saya ke Yani?”

            “Tak lawaklah Hariz. Jangan pernah bergurau benda yang bukan-bukan.” Marahnya lagi.

            “Alah, tapi awak takkan tinggalkan saya kan? Jadi tak perlulah risau.”

            Walaupun Haryani tidak suka dengan gurauan itu, tapi perasaan itu segera dimatikan dengan tindakkan dan kata-kata Hariz yang romantik malam ini. Haryani dilayan bagaikan seorang puteri. Bisikkan cinta Hariz mententeramkan jiwa wanitanya, layanan Hariz membuang keraguaannya. Andai ada halangan di dalam hubungan mereka kelak, dia harap bisikan cinta Hariz mampu memberinya kekuatan untuk tetap teguh dengan cinta mereka.  

Selasa, 20 Mac 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 2

Note: Re-edit version Jangan Pernah Sakiti Aku

BAB DUA

PERTEMUAN pertama Haryani dan Hariz terjadi beberapa tahun lalu ketika mereka sedang bercuti disebuah pulau. Pertembungan tanpa sengaja meleret ke jalinan persahabatan dan kemudian sebagai pasangan kekasih. Dia yang menyedari hati ini sudah terpaut dengannya, menerima huluran kasih bila Hariz menyatakan isi hatinya.

            Bukan main senang lagi dia bila Hariz juga memilikki perasaan yang sama dengannya. Hari indah itu tak mungkin dilupainya, apatah lagi Hariz lelaki pertama yang berjaya membuat jantungnya berdegup laju, tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang. Setelah usia hubungan mereka hampir mencampai tiga tahun, getaran cinta itu masih ada dan masih sama.

            Bukan senang untuknya mempertahankan hubungna mereka ini, dirinya ibarat Pipit yang hendak terbang bersama Enggang. Dia wanita biasa yang tiada apa-apa, dibandingkan Hariz yang datang dari keluarga kaya-raya. Kalau tidak kerana perasaan cinta yang kuat buat Hariz dan keyakinan yang diberikan oleh kekasihnya itu, agaknya dah lama dia undur diri.

            Dia memainkan album gambar mereka di layar komputer sambil mengenang kembali kenangan lampau. Kenangan lampau yang cukup manis dan tidak terlupakan. Bibirnya tersenyum gembira, tidak lama lagi mereka akan menyambut ulang tahun ke tiga hubungan mereka. Fikirannya sudah memikirkan kejutan yang akan dilakukan dan hadiah yang ingin diberikan kepada Hariz.

            “Good morning my dear friend! Amboi, bukan main panjang senyum tu. Ada apa-apa ke?”

            Sergahan Lia mematikan lamunan panjangnya tadi. Segera dia menutup album yang dibuka di layar komputer. Tidak mahu Lia menjadikan bahan untuk mengusiknya. Hubungannya bersama Hariz bukan menjadi rahsia, Lia juga mengenali Hariz memandangkan kekasihnya itu sering ke pejabatnya untuk makan tengah hari bersama.

            “Selamat pagi Lia, eh dia pun kenapa teruja sangat pagi ni? Ada  good news ke?”

            Lia hanya ketawa teruja. Wajahnya yang bersinar-sinar tidak dapat menutupi rasa bahagia yang sedang menyelimuti diri. Selepas meletak barang dan tas tangan di mejanya, dia kembali menghampiri Haryani.

            “Inilah yang Lia tak sabar nak kongsi dengan Yani. Akhirnya, Allah makbulkan doa Lia dan suami selepas tiga tahun. I’m pregnant now!”

            Ternga-nga Haryani mendengar berita baik ini. Dia memandang Lia dengan perasaan tidak percaya dan terharu. Dia yang mengenali Lia sejak bekerja disini mengetahui bagaimana perit getir mereka berusaha mendapatkan anak. Pelbagai usaha telah dilakukan tapi tidak pernah berjaya, alhamdulillah kali ini rezeki milik mereka.

            “Alhamdulillah, tahniah Lia. Yani tumpang gembira.”

            “Itulah, Lia pun mula-mula tak percaya. Tapi lepas doktor yang sendiri sahkan, lega hati ni.”

            Lia dan suaminya, Alif bernikah muda. Walaupun Haryani dan Lia sebaya, tetapi usia perkahwinan mereka sudah lima tahun. Kadang-kadang terselit rasa cemburu dihatinya bila dirinya belum juga dilamar Hariz. Bercinta dah nak dekat tiga tahun, tapi belum juga berkahwin. Ada orang, kenal tak sampai setahun dah ajak kahwin. Janganlah Hariz menikah dengan orang lain pula. Apa-apa pun dia percaya jodoh telah ditetapkan Tuhan untuknya. Kalau Hariz untuknya, takkan kemana juga.

            “Yani tau tak apa reaksi Alif? Dia punya seronok sampai tak ingat dunia, terlompat-lompat macam budak kecil.”

            Haryani tidak dapat membayangkan tubuh Alif yang besar ragam terlompat-lompat macam budak kecil. Pasti hodoh. Kebetulan Alif juga bekerja di dalam wisma yang sama, tetapi berlainan syarikat. Kadang-kadang ada juga dia terserampak dengan suami rakan sepejabatnya ini sedang menunggu Lia di hadapan pintu lif.

            “Itulah Lia pun taknaklah seorang je happy. Yani pula macam mana? Bila cik abang nak hantar rombongan meminang?” Tanya Lia, cuba mengalihkan perhatian kepada Haryani pula.

            “Janganlah tanya Yani, manalah Yani nak tahu. Lia kena tanya Iz sendiri.”

            “Hmm, agaknya kempunan la Yani nanti, tengok Lia dah ada baby nanti.”

            “Ala, kita pinjamlah sekejap anak dia nanti.”

            “Eh mana boleh, kalau nak kenalah cepat-cepat kahwin.”

            Kalaulah kahwin itu semudah ABC, dah lama dia kahwin dengan Hariz. Ketika ini hubungan mereka terlalu banyak halangan. Tak semudah itu dia dapat bersama Hariz. Usianya semakin lama semakin meningkat, bohonglah dia kalau tiada kerisauan dihati ini. Tetapi selagi Hariz mampu setia disisinya, selagi itu dia akan bertahan dalam perhubungan ini.

            Haryani telah berjanji untuk belanja Lia makan tengah hari ini, sempena pengumuman berita kehamilan Lia. Kebetulan hari ini hari gaji, tak salah rasanya dia berkongsi rezeki.

 

SEPERTI yang dijanjikan, Haryani dan Lia kini sudah berada di restoran yang terletak bertentangan dengan pejabat mereka. Masing-masing sedang memilih makanan yang hendak dimakan. Haryani memesan nasi goreng kampung dan minuman kegemarannya, jus oren. Manakala Lia memilih untuk makan makanan barat dan minuman yang sama dengannya.

            Tengah hari ini ramai pelanggan yang datang untuk menjamu selera, restoran ini kelihatan sesak dengan manusia. Mereka bernasib baik kerana mendapat meja yang bersebelahan dengan penghadang kaca yang menyajikan pemandangan di luar kedai.

            Sedang mereka menjamu selera. Tiba-tiba Lia bersuara.

            “Eh,Yani. Tu bukan Hariz ke?” Tanya Lia sambil menunjuk ke arah belakang Haryani.

            Haryani segera berpaling memandang ke arah yang ditunjukkan. Tetapi dia tidak nampak kelibat Hariz di situ.

            “Mana? Tak nampak pun.”

            “Tu… Dekat situ tu… Dekat sebelah meja perempuan yang pakai baju pink tu.” Kali ini Lia memberi tahu kedudukan Hariz dengan lebih jelas. Mulutnya termuncung ke arah yang ditunjukkannya.

            Haryani segera bangun dan meninjau ke arah tempat yang dimaksudkan Lia. Haryani tersenyum bila matanya menangkap susuk Hariz. Kelihatan kekasih hatinya sedang sendirian, dia ingin segera pergi ke sana dan menemani Hariz.

            “Kalau ya pun nak jumpa kekasih hati, pengarang jiwa. Makanlah sampai habis dulu, tak lari gunung kalau dikejar.” Halang Lia sambil tersenyum mengejek.

            Haryani tersipu-sipu malu, segera dia menghabiskan makanannya. Lia ni pun, sempat lagi nak berbahasa.

            “Lia, Yani pergi jumpa Hariz sekejap ya?”

            “Okay, tapi jangan lama-lama sangat tau. Kita belum solat lagi.”

Haryani melangkah penuh gembira ke arah Hariz. Hampir seminggu mereka tidak bertemu sudah membuatnya mabuk rindu pada lelaki itu. Perjumpaan secara tidak sengaja ini memberi kesempatan kepadanya untuk melepaskan rindu. Apa agaknya reaksi Hariz nanti bila bertemu dengannya? Mungkin gembira sepertinya? Tapi bila langkahnya semakin hampir, dia jelas melihat wajah Hariz yang muram dan tidak bermaya. Wajahnya yang tidak bercukur dan diri yang tidak terurus.

Mengapa? Adakah Hariz dalam kesusahan?

 

HARIZ tiada selera untuk menjamah makanan, tapi digagahkan juga bagi mengisi perutnya yang kosong sejak pagi tadi. Fikirannya kusut, hatinya tidak tenteram. Sejak beberapa hari ini dirinya sudah tidak terurus. Fikirannya selalu menerawang memikirkan hal-hal yang membuatkan hatinya diragut rasa bimbang dan bersalah.

Fikirannya terbeban dengan  masalah yang sedang digalasnya. Saat ini cuma kawan baiknya saja yang  mengetahui masalah ini, iaitu Ikram. Masalahnya bukan saja melibatkan dirinya, tetapi semua orang yang berada disekelilingnya.

            Telinganya masih terngiang-ngiang dengan ucapan mamanya, Datin Sofea dan papanya, Dato Bahar. Sanggupkah dia melukakan hati seorang insan yang cukup dicintainya hanya kerana desakkan keluarga yang ingin melihat dirinya bersama wanita lain?

            “Mama tak kira, kau nak ke, taknak ke, mama tetap dengan keputusan mama. Faham!” Suara Datin Sofea tegas.

             Datin Sofea berdiri di hadapan anaknya yang sedang duduk bersebelahan suaminya. Dia merenung tajam Hariz. Hatinya sudah keras dengan keputusannya dan tak mungkin dapat diubah lagi. Lagipun suaminya turut bersetuju dengan keputusan ini. Jodoh yang dipilih untuk Hariz dari keluarga yang baik-baik dan yang pasti lebih layak dari Haryani.

            Dato Bahar sudah lama mengenali keluarga bakal menantunya dan mereka bersahabat baik. Kerana itulah dia menyetujui keputusan isterinya untuk menjodohkan Hariz dan anak kawan baiknya ini. Bakal menantu mereka orangnya lemah lembut, bersopan-santun dan baik budinya. Hal itulah yang telah menarik hatinya untuk melamar anak gadis sahabatnya untuk menjadi isteri Hariz, satu-satunya anak mereka.

            “Tapi Iz tak nak mama. Iz dah ada pilihan sendiri.”

            “Siapa? Budak perempuan yang tak tahu asal usul tu?!” Tebak Datin Sofea garang.

Hubungan Hariz dan Haryani sudah lama diketahuinya, sejak awal perkenalan mereka lagi.  Dia tidak bersetuju bila Hariz menyuarakan isi hati untuk melamar Haryani, hanya kerana latar belakang gadis itu tidak jelas. Lagi pula dia sangat berpegang dengan ucapan yang mengatakan sekiranya kita menginginkan keturunan yang baik-baik, mencari pasangan juga mestilah dari kalangan yang baik-baik. Bukanlah dia mengata Haryani dari keturunan yang tidak baik, tetapi ketidaktahuan asal-usulnya meragukan mereka.

            “Mama!” Hariz hampir menjerkah mamanya, tapi segera dihalang Dato Bahar

            “Huh, Iz cakap la apa sekali pun. Iz tetap akan kahwin dengan Ila!”

            Selepa itu Datin Sofea terus beredar meninggalkan ruangan itu. Lagi lama dia duduk di situ lagi panas rasanya.

 

“Arrggh!” Tiba-tiba Hariz menjerit kesal. Suaranya bagaikan hililintar mengejutkan orang-orang yang berada di sekelilingnya.

            Haryani terperanjat. Dia memandang wajah tegang Hariz. Kecut perutnya melihat wajah itu. Dia tidak tahu mengapa Hariz tiba-tiba marah. Pelanggan yang hadir juga jelas tercengang-cengang dan memandang ke arah mereka. Tangan kananya memegang lembut bahu Hariz. Dia yang baru ingin bersuara, terkejut dengan jerkahan lelaki itu yang tiba-tiba.

            “Kau nak apa?!”

            Haryani terus terdiam, dia menarik kembali tangannya dari tubuh Hariz. Bukan dia saja yang terkejut, tapi Hariz juga terkejut bila terpandang wajahnya.

            “Yani? Maaf, saya... Saya tak sengaja.” Hariz segera memohon maaf. Dia berdiri sambil memandang wajah Haryani yang tercengang.

            “Iz, awak okay?”

            Kelembutan suara Haryani menerjah gegendang telinganya. Hariz baru tersedar di mana dia berada sekarang. Dia meraup kasar wajahnya sambil beristighfar beberapa kali. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis yang jelas masih terkejut. Seketika mata mereka bertembung, Haryani melarikan wajahnya dari terus ditonton oleh Hariz. Tanpa kebenaran Haryani terus mengambil tempat bertentang dengan lelaki itu. Hariz bungkam, dalam terkejut ada rasa gembira kerana dapat bertemu dengan kekasih hati. Lega dan terasa tenang hatinya melihat wajah itu.

            “Awak tak apa-apa ke Iz? Awak sihat? Ada apa-apa masalah ke?” Bertalu-talu Haryani menyoal. Hatinya disapa bimbang.

            Mana tidaknya, kekasihnya yang sentiasa baik hati, dan lembut tutur katanya tiba-tiba berubah macam gorila.

            Hariz geleng. Rasa bersalah kerana telah memarahi Haryani, tapi niatnya bukan begitu. Kerana terlalu marah dan tertekan dengan masalahnya, dia telah melepaskannya pada orang yang salah, apatah lagi orang itu adalah kekasihnya sendiri. Hariz segera duduk bila terperasankan tumpuan orang ramai terarah padanya.

            “Iz, awak okay ke tak ni?” Haryani tanya lagi. Semakin risau dibuatnya bila melihat kebisuan Hariz sejak tadi.

            Hariz tersenyum sambil mengelengkan kepalanya. Itulah salah satu sikap yang dia suka pada gadis ini. Sentiasa mengambil berat akan dirinya, tapi yang melucukannya adalah melihat Haryani mengelabah seperti sekarang.

            “Saya tak apa-apa, awak tak perlu risau. Awak buat apa dekat sini?” Kini giliran Hariz pula bertanya.

            “Saya datang makan tengah hari dengna Lia, kan office saya depan ni je. Saya yang sepatutnya tanya awak soalan tu, awak buat apa dekat sini? Kenapa tak call saya? Awak ada masalah ke?” Dia masih belum berpuas hati selagi tidak mengetahui punca mengapa kekasihnya berang tadi, pasti ada sebab.

            Hariz merasa bersalah. Mulanya memang dia ingin mengajak Haryani makan tengah hari bersama, tapi kerana terikut-ikutkan perasaannya tadi dia terus terlupa dengan niatnya itu.

            “Takdak apa, awak jangan risau la. Saya rindu dekat awak je agaknya.” Lembut suaranya menjawab pertanyaan kekasih hati, mengelak dari terus membicarakan masalahnya. Jika ikutkan perasaan yang tidak menentu ini, ingin diluahkan saja apa yang terbuku dalam hati. Tetapi dia masih waras, mana mungkin dia melukakan sekeping hati yang begitu rapuh. Dan menghilangkan peluang untuk terus bersama Haryani.

            Haryani mengerutkan dahinya hairan, tapi malas ingin bertanya lebih lanjut memandangkan Hariz sedang tidak ingin berkongsi.

            “Apa-apa je lah. Jangan terpekik melolong lagi sudah la.”

            Hariz ketawa kecil. Kehadiran Haryani di depan matanya melegakan gelora hatinya untuk seketika. Dia merenung wajah Haryani lama, mata bening itu sentiasa menjadi sasarannya. Kerana dari mata, turun ke hati. Kerana dia yakin hati mereka berdua sedang berdegup kencang seolah sedang jatuh cinta pada pandang pertama.

            ‘Ya Allah... Aku mohon, Kau jadikanlah dia sebagai suri hatiku selamanya. Kerana hanya dia yang aku mahu.’ Doanya dalam hati.

            Wajah Haryani bersemu. Bukan dia tidak biasa dipandang oleh lelaki itu, tapi kali ini pandangannya sangat berbeza. Seolah ada makna tersirat disebalik pandangan itu.

            “Iz, kalau awak terus tengok saya, saya balik!” Ucapnya lantas mematikan lamunan Hariz. Dia sengaja berbicara bagi menghilangkan rasa tidak selesa dirinya. Haryani berpura-pura untuk pergi walaupun dia tahu Hariz pasti tidak izinkan.

            Hariz pantas menghalang dengan menyentuh hujung baju Haryani.

            “Please, don’t go. Please, I need you. ” Hariz merayu. Wajahnya berubah sedih dan hilang arah.

            Hariz tak keruan bila Haryani ingin meninggalkannya. Dia perlukan Haryani ketika ini.  Dia tidak tahu masih adakah peluang untuknya bersama Haryani selepas ini. Kerana apa yang bakal terjadi nanti pasti merobek hati kekasihnya.

Tidak! Dia tidak akan biar hal itu terjadi, dia tidak mungkin berpisah dengan Haryani. Dia perlu lakukan sesuatu untuk mengikat berdua selalu. Ya, itu yang dia perlu lakukan.

            Haryani merenung Hariz lama. Dia merasakan seperti ada yang dirahsiakan oleh Hariz. Tapi apa? Kerana tidak sampai hati melihat Hariz sebegitu, akhirnya dia beralah juga. Dia bersetuju untuk menemani lelaki itu sepanjang hari. Selepas memberitahu Lia dan menjelaskan bayaran makanan, dia mengikut Hariz. Cuti separuh hari terpaksa diambil, walaupun sempat juga dia dileteri oleh Lia.

Rabu, 14 Mac 2012

Jangan Pernah Sakiti Aku 1

NOTE: Re-edit version

BAB SATU

INI kali pertama dia diserang senggugut, sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Wajahnya jelas pucat tidak berdarah. Tubuhnya mengeletar halus, dahinya pula mulai kelihatan peluh dingin. Terencat niatnya untuk ke dapur untuk mengambil ambil air panas bagi menghilangkan rasa sakit. Haryani hanya mampu terbaring di atas katil sambil mengurut perlahan perutnya dengan minyak panas.

Malam ini dia hanya sendirian di rumah sewa ini. Azie, teman sebiliknya belum pulang dari kursus di Melaka. Manakala Sara dan Ila pulang ke kampung di Perak atas urusan keluarga.

“Aduh... Sakitnya!”

‘Huhuhu… Azie, bila kau nak balik ni? Aku dah tak tahan ni, sakit sangat.’ Rintihnya dalam hati.

Tuk! Tuk! Tuk! Tiba-tiba pintu rumah diketuk. Haryani tersentak, siapa yang datang malam-malam buta ni? Matanya memandang jam dinding yang tergantung. Sudah pukul 11.50 malam. Agak lewat bagi seorang tetamu untuk datang ketika ini. Perasaan seram dan takut tiba-tiba menyerang dirinya, tak pernah orang datang selewat ini.

‘Janganlah hantu yang datang. Aku ni dah la penakut.’ Doanya dalam hati.

            “Assalammualaikum...Yani! Aku ni Azie, bukalah pintu.”

Azie menggaru kepalanya yang berlapik tudung. Takkanlah kawannya sudah tidur. Kalau ya, susah dia malam ni, takkan nak tidur dekat luar pula. Banyak nyamuk dan sejuk. Silapnya juga kerana terlupa membawa kunci rumah.

Haryani menarik nafas lega sebaik saja mendengar suara teman baiknya itu. Terus lesap semua fikiran buruknya tadi. Lega kerana malam ini dia akan berteman. Dalam kesakitan itu, digagahkan juga dirinya untuk bangun lalu membuka pintu untuk Azie.

“Waalaikumussalam.” Jawabnya sebaik saja pintu rumah dibuka. Dia menghadiahkan senyuman lega kepada Azie.

“Kenapa balik tak bagi tahu aku?” Sambungnya lagi. Setahunya Azie akan pulang dari Melaka esok hari.

“Aku saja tak nak bagi tahu kau. Nak buat surprise! Nak tengok juga muka terkejut kau.”

Seloroh Azie atau nama sebenarnya Siti Hazimah. Badannya letih dan pegal kerana tidak sempat berehat. Tamat saja kursus petang tadi, dia terus pulang ke Kuala Lumpur. Dia bersandar di atas sofa di ruang tamu.

“Eh Yani, kau tak sihat ke? Kenapa muka kau pucat je?” Soal Azie yang baru perasankan wajah tidak bermaya Haryani.

Tapak tangannya menyentuh dahi Haryani untuk memeriksa suhu tubuh temannya. Haryani cuma tersenyum, mungkin lucu melihat kerisauan temannya itu. Dia sudah terbiasa dengan sikap Azie yang terlampau mengambil berat jika ada sesuatu yang berlaku.

Haryani sudah mengenali Azie dan penghuni rumah sewa ini sejak dari universiti lagi. Enam tahun tempoh perkenalan, jadi dia sudah masak dengan setiap perangai dan sikap mereka. Walau bagaimanapun, dia lebih rapat dengan Azie berbanding Sara dan Ila. Ila dan Sara pula memang sudah berteman sejak kecil lagi, dan sememangnya mereka sudah hidup berjiran di Kampung Baru, Perak.

“Tak payah nak risau sangatlah, senggugut je pun.”

“Lah ya ke, kau ada guna heating pad tak?”

Haryani menggeleng, manalah dia sempat keluar untuk membelinya. Tiba-tiba saja dia diserang senggugut. Lagipun manalah dia simpan semua itu memandangkan ini kali pertama dia mengalaminya.

Tak menunggu lebih lama, dia lihat Azie masuk ke dalam bilik, kemudian dia ke dapur dan datang semula ke ruang tamu bersama hot pad.

            “Nah ambil ni, tuam je atas perut kau tu. Lama-lama hilanglah senggugut tu.”

Haryani berterima kasih. Bagus juga dia mempunyai sahabat yang berguna seperti Azie. Susah dan senang sentiasa bersama.

            “Thanks Azie, kalau takdak kau tak tahulah aku macam mana nak buat. Aku pun tak pernah senggugut sebelum ni.” Ujar Haryani sambil matanya masih terpejam.

            “Eh, mana Ila dengan Sara? Kereta dekat depan pun takda, mana dia orang pergi?” Baru dia sedar ketiadaan dua orang lagi sahabat baik mereka.

            “Mereka balik kampung petang tadi, katanya urgent.” Jawab Haryani malas.

            “Dia orang tak ajak kau ke? Kalau tak selalu sangat ajak kau balik sekali.”

Azie sedikit hairan. Selalunya setiap kali pulang ke kampung mereka tidak akan pernah terlepas dari mengajak Haryani. Tidak kira cuti ataupun hari bekerja, memandangkan Haryani sangat teruja dengan suasana desa mereka. Apatah lagi Haryani tinggal sendirian di rumah sewa ini.

            Haryani merupakan anak yatim piatu dan dibesarkan disebuah rumah anak-anak yatim di utara tanah air. Selepas saja menamatkan pelajaran dan berjaya mendapatkan pekerjaan, dia terus menetap di sini. Hingga ke saat ini dia tidak pernah mengetahui di mana saudara maranya yang lain, mati atau hidup dia juga tidak tahu.

Dari kecil lagi dia sudah terbiasa sendirian. Dia sudah merasa cukup lengkap dengan teman-teman disekeliling. Tambahan pula, dia kini memiliki kekasih hati yang penyayang, tak lama lagi pasti dia juga akan memiliki sebuah keluarga kecil bersama.

            “Tak, lagipun mengejut sangat. Mana sempat aku nak apply cuti.”

            Agak tergesa-gesa Sara dan Ila pulang ke kampung halaman mereka petang tadi. Mereka cukup memaklumkan kepadanya bahawa ada hal kekeluargaan yang perlu diselesaiakan segera. Haryani pula tidak bertanya banyak, cukup sekadar berpesan untuk berhati-hati di jalan raya dan mengirim salam kepada ahli keluarga di sana.

Malam semakin tua, masing-masing sudah letih dan mengantuk. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidur. Senggugut Haryani pun sudah hilang, tidurnya juga sangat nyenyak dan ditemani mimpi indah.

 

TINGKAP dibiarkan terbuka luas membiarkan angin malam menyerbu masuk. Dalam samar terlihat sesusuk tubuh seorang wanita berdiri ditepi tingkap sambil berpeluk tubuh. Matanya yang masih merah tidak lepas memandang langit malam yang gelap tanpa cahaya bulan mahupun bintang-bintang yang sentiasa berkelipan di langit. Pipinya yang masih bersisa air mata dibiarkan kering sendiri.

            Sara tidak tahan melihat kesedihan sahabat baiknya ini. Keputusan sudah pun dibuat, pertunangan sudah pun terlaksana beberapa bulan yang lalu, kini tinggal ijab dan kabul saja untuk menyatukannya dengan pasangan yang telah dipilih. Kini menangis air mata darahpun tak mungkin dapat mengubah keputusan yang telah disepakati, ditengah persiapan majlis yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

“Sudah-sudah la tu Ila. Kau tak penat ke nangis dari tadi je? Esok pagi apa kau nak jawab kalau mak kau tengok mata tu bengkak semacam.” Tegur Sara.

Ila sedikit tersentak, tapi tak dihiraukan teguran dari sahabat baiknya itu. Hatinya sedang lara mengenang nasib diri yang bakal dinikahkan dengan orang yang tidak dicintai. Dia sudah membantah dan menentang jodoh yang telah ditetapkan orang tuanya, tapi akhirnya dia harus mengalah pada takdir yang telah ditetapkan.

“Selain menangis, apa yang aku boleh buat Sara? Biarlah malam ni aku menangis sepuas hati. Supaya lega sedikit hati ni.”

Bukannya Sara tidak mengenali siapa bakal suaminya, mereka terlebih dahulu kenal lelaki itu sebelum dikenenkan oleh orang tua masing-masing. Hampir luruh jantungnya bila pertama kali dipertemukan, kepalanya pula berputar-putar dan hampir pengsan. Mana tidaknya, lelaki itu adalah kekasih sahabat baik mereka.

            “Kau pun kenal dia, boleh kau bayangkan macam mana hidup aku nanti? Sebelum kahwin lagi dia dah bagi amaran dan syarat, apatah lagi lepas kahwin nanti. Tolonglah faham, aku takut dia gantung aku tak bertali, macam mana aku nak teruskan hidup nanti? Macam-macam aku fikirkan.”

            Sambung Ila panjang lebar. Sara hanya mampu mendengar dan menyetujui setiap patah luahan sahabat baiknya. Ila mungkin boleh bersetuju andai calon suaminya turut ikhlas mengahwininya dan sama-sama menjalani bahtera perkahwinan ini, tapi calon suami yang dipilih mempunyai niat disebaliknya.

            Hariz, calon suami Ila dan kekasih sahabat baik mereka, Haryani. Tak terbayang dek akal perkara sebegini boleh berlaku, sememangnya takdir sedang mempermainkan mereka. Hariz juga seperti Ila, dipaksa untuk menerima jodoh pilihan keluarga walaupun menyedari dirinya sudah memilikki kekasih hati.

“Aku tahu, tapi...”

“Tak, kau tak tahu apa-apa Sara. Kau takkan faham apa yang aku rasakan sekarang.”

Belum sempat Sara menghabiskan bicaranya, Ila pantas memintas. Dia sedikit berkecil hati bila Ila menuduhnya tidak memahami dengan masalah yang sedang dilaluinya. Sedangkan dialah sahabat yang sentiasa ada ketika sudah dan senang. Seperti sekarang?

Sendu kembali berlagu.

“Aku takut Sara, aku takut. Macam mana aku nak berdepan dengan Yani dan Azie nanti? Apa pula kata dia orang? Aku taknak dituduh perampas.”

Sara memegang bahu Ila, memaksanya untuk saling bertentanggan. Mata Sara yang penuh keyakinan memandang wajah sendu sahabatnya ini. Rezeki, jodoh, dan maut semuanya telah ditetapkan Tuhan. Apa yang perlu dirisaukan? Walau sedalam mana cinta Hariz kepada Haryani, andai Tuhan sudah menulis jodohnya dengan Ila, tetap tak ke mana.

“Ila kau bukan perampas. Selagi dia dan Hariz takdak apa-apa ikatan yang sah, selagi tu Hariz bukan milik siapa-siapa. Kau nak takut apa Ila? Kau bukannya paksa Hariz terima kau, kau orang sama-sama terpaksa sebab keluarga. Dia orang tak boleh tuduh kau sebarangan.”

Kali ini giliran Sara pula berkata panjang. Berbulan-bulan sudah berlalu, tetapi Hariz dan Ila tidak mendapat kata sepakat bagaimana menyelesaikan masalah ini. Ila masih dengan kekuatirannya, manakala Hariz ingin mempertahankan hubungan cinta bersama Haryani tanpa memberi solusi yang bernas. Sebaliknya dia memberi amaran kepada Ila supaya tidak membocorkan pertunangan mereka kepada Haryani. Sememangnya Hariz lelaki yang lemah dan dayus! Hanya mampu menggugut, tetapi tidak mampu bangun mempertahankan pilihan hati.

“Sebagai orang islam, kita wajib percaya qada dan qadar. Kalau jodoh kau dengan Hariz, takkan kemana juga. Yang penting sekarang kau, kalau Hariz tak mampu nak bimbing, kau juga kena main peranan, takkan kau nak biar Hariz berpelesaran dengan perempuan lain? Kau sendiri kena pertahankan hak kau nanti. Mana ada orang nak kahwin sekejap-sekejap.”

“Tapi aku takut… Aku rasa bersalah sangat.”

“Takdak tapi-tapi, dalam hal ni kau kena mulakan dulu. Kalau Hariz tak cintakan kau, kau kenalah mengurat dia dulu. Aku yakin, lama-lama dia akan terima kau sebagai isteri. Slowly but surely.”

“Senang saja kau bercakap, habis tu Haryani macam mana?” Tanya Ila tidak puas hati. Bercakap memang senang, tapi yang menghadapinya adalah dia.

Sara mengeluh dalam hati. Bukan dia tidak terfikirkan Haryani, dan bukan juga niatnya untuk ketepikan sahabat mereka ini. Tapi dia berpegang teguh dengan qada dan qadar yang ditetapkan Tuhan, seperti mana telah diajar oleh ustaz dan ustazah disekolah dahulu. Andai hal ini terbongkar kelak, dia hanya mampu memujuk dan meyakinkan Haryani dengan ketetapan Tuhan, seperti mana dia meyakinkan Ila sekarang. Dia cuma berharap tiada dendam diantara mereka nanti.

“Pasal dia kau jangan risau, aku akan tolong kau explain dekat dia nanti. Lagipun kau bukan tak kenal Yani, diakan pemaaf orangnya, hati lembut, senang nak pujuk.”

Ila tidak senang dengan ulasan Sara tentang Haryani, walaupun Haryani baik hati, tak bermakna dia senang-senang untuk melukakan hati sahabat baiknya itu.

Setelah sekian lama bersengkang mata, akhirnya Ila mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Dia ingin melupakan masalahnya buat seketika. Kepulangan mereka ke kampung halaman kali ini adalah untuk menguruskan persiapan perkahiwnannya yang akan berlangsung hujung minggu ini. Oleh sebab itu dia tidak mengajak Haryani bersama, kerana dia telah berjanji dengan Hariz untuk menjaga rahsia mereka sehingga Hariz bersedia untuk memberitahu kekasih hatinya itu.